Skip to main
Logo Malaysiakini

Adun gesa k'jaan pertimbang alternatif lain untuk peperiksaan SPM

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Kementerian pendidikan Malaysia (KPM) digesa mempertimbangkan alternatif lain bagi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang dijadual diadakan pada 22 Februari depan.

Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Gasing Rajiv Risyakaran berkata, kementerian itu setakat ini gagal menangani kebimbangan berhubung penularan wabak Covid-19 di pusat peperiksaan.

“Dengan hampir 400,000 pelajar yang menduduki SPM pada 2020, pasti bakal ada kesan besar ke atas jadual peperiksaan sekiranya prosedur operasi standard (SOP) kementerian kesihatan Malaysia (KKM) untuk mengasingkan kontak rapat dan pembasmian kuman di premis yang digunakan oleh pelajar, pengawas dan sekolah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebagai alternatif, Rajiv berkata kerajaan boleh mempertimbangkan dua pilihan.

Salah satunya menggunakan keputusan percubaan SPM tahun 2020 sebagai keputusan sebenar, dengan penyesuaian untuk mencerminkan penilaian yang adil di seluruh negara.

“Untuk ini, pihak sekolah yang tidak dapat menyelesaikan peperiksaan percubaan mesti dibenarkan berbuat demikian,” katanya.

Kedua, katanya, kementerian boleh mempertimbangkan prestasi akademik pelajar sejak di tingkatan empat pada tahun 2019.

Menyifatkan SPM sebagai peperiksaan terbesar negara, Rajiv berkata peperiksaan ini boleh menjadi kunci utama kepada masa depan seseorang pelajar.

“Seperti sekarang, ada yang telah atau akan terlepas tarikh akhir permohonan ke pendidikan tinggi.

“Belum termasuk kemungkinan peningkatan pelajar yang gagal tahun ini kerana tidak dapat mengambil bahagian dalam kelas dalam talian, "katanya.

Adun Tanah Rata Chiong Yoke Kong, turut menggesa kementerian melihat data keputusan peperiksaan percubaan SPM sebagai indikator ke atas keputusan untuk menangguhkan atau meneruskan peperiksaan itu.

Chiong menambah, KPM sebelum ini mendedahkan sebanyak 2004 sekolah atau 85 peratus sekolah menengah telah menyelesaikan peperiksaan percubaan SPM, manakala 346 lain masih belum menyelesaikan peperiksaaan berkenaan.

“Oleh sedemikian, kementerian pendidikan harus mengumpul data prestasi peperiksaan percubaan SPM untuk mengkaji sama ada tahap akademik pelajar pada masa sekarang adalah mencukupi untuk menghadapi SPM.

“KPM boleh mengkaji sama ada perlu menangguhkan SPM berdasarkan prestasi pelajar sebenar agar pelajar tidak terkorban disebabkan wabak Covid-19 atau no one left behind (tiada yang ketinggalan),” katanya lagi.

Meskipun kementerian menjelaskan, semua sekolah berjaya menyelesaikan sukatan pelajaran Tingkatan Lima tahun lalu, Chiong bagaimanapun berkata, prestasi pelajar akan tetap dipengaruhi oleh sistem pembelajaran dalam talian, terutama yang berada di kawasan luar bandar atau dari keluarga berpendapatan rendah.

Tarikh peperiksaan SPM telah diubah beberapa kali, sebelum ini dijadualkan pada 16 Nov hingga 7 Dis tahun lalu, namun ditunda pada 6 Jan hingga 9 Feb ini.

Peperiksaan itu ditunda sekali lagi kepada 22 Feb tahun ini.