Skip to main
Logo Malaysiakini

Sekat media sosial Trump duluan berbahaya - CEO Twitter

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan
Langkah menyekat Presiden Donald trump daripada platform media sosial selepas insiden keganasan di Capitol AS minggu lalu merupakan “keputusan tepat”, meskipun ia menjadi satu duluan berbahaya, kata Ketua Eksekutif Twitter Inc Jack Dorsey semalam, menurut Reuters.

Twitter yang berpusat di San Francisco, pada minggu lalu menutup akaun Trump yang mempunyai 88 juta pengikut, memetik risiko kemungkinan berlaku keganasan lanjut ekoran rusuhan di Capitol oleh penyokong presiden itu.

“(Dengan) Terpaksa mengambil keputusan ini telah membelah-bahagi perbincangan awam,” kata Dorsey di Twitter.

“Keputusan itu memecah-belahkan kita. Ia mengehadkan potensi untuk (mendapatkan) penjelasan, penebusan dan pembelajaran. Dan menetapkan satu duluan yang saya fikir berbahaya: kuasa yang dimiliki individu atau syarikat, terhadap sebahagian perbincangan awam global”.

Sekatan itu mengundang kritikan daripada sebahagian penyokong Republican yang berkata ia menghalang kebebasan bersuara presiden tersebut.

Canselor Jerman Angela Merkel turut memberi amaran menerusi jurucakap, bahawa penggubal undang-undanglah yang harus menentukan kemungkinan mengehadkan kebebasan bersuara, bukannya syarikat swasta.

Dalam bebenang Twitternya, Dorsey berkata meskipun dia tidak berasa bangga dengan sekatan tersebut, “Akibat buruk yang berlaku susulan ucapan dalam talian adalah terbukti benar/nyata, dan (merupakan) apa yang memacu dasar dan penguatkuasaan kita."

 

Tambahnya, “Meskipun terdapat pengecualian yang jelas dan ketara, saya rasa, akhirnya, sekatan merupakan kegagalan kami untuk menggalakkan perbincangan sihat.”

Twitter memperkenalkan beberapa siri pendekatan sepanjang tahun lepas seperti label, amaran dan sekatan taburan bagi mengurangkan keperluan untuk memadam kandungan sepenuhnya daripada perkhidmatan berkenaan.

Kata Dorsey, dia percaya pendekatan berkenaan dapat menggalakkan perbincangan dalam talian yang lebih “sihat” dan memberi manfaat serta mengurangkan kesan sikap buruk.

CEO Twitter itu turut menambah bahawa sekatan oleh syarikat media sosial ke atas Trump selepas keganasan minggu lalu dikuatkan lagi oleh tindakan syarikat-syarikat berkenaan, meskipun keputusan itu tidaklah diselaras antara mereka.

Tetapi dalam jangka masa panjang, duluan itu “akan membinasakan tujuan dan cita-cita murni internet yang terbuka,” katanya.

Penyokong Trump, yang berulang kali mencabar kejayaan Joe Biden dari Democrat pada pilihan raya November, menyerbu Capitol pada Rabu, untuk menghentikan perakuan kongres terhadap kemenangan Biden dalam Lembaga Pemilihan (Electoral College).