Skip to main
Logo Malaysiakini

'Elitisme, membodek' - Persatuan pelajar bidas ahli akademik sokong darurat

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Persatuan-persatuan pelajar meluahkan rasa kesal terhadap sokongan pengisytiharan darurat oleh 222 orang pemegang ijazah doktor falsafah (PhD).

Dalam kenyataan bersama Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (KMUM), Demokrat Universiti Malaya, Gerakan Pembebasan Akademik (GPA), Harmoni Malaysia, Angkatan Mahasiswa UM dan Persatuan Pemuda Baharu Universiti Malaya (Umany), mereka menyifatkan kenyataan itu berbaur elitisme.

Tambah mereka, ia menggambarkan seolah-olah golongan itu membayangkan rasa tinggi diri intelektual mereka kerana memiliki kelayakan PhD berbanding rakyat Malaysia lain.

“Meskipun kami menjunjung tinggi dan menghargai prinsip kebebasan bersuara, adalah dikesalkan apabila sokongan oleh 222 pemegang PhD daripada Pertubuhan Intelektual Negara (Pintar) itu telah mendatangkan perpecahan baru di negara kita yang tercinta ini.

“Perpecahan antara yang memegang ijazah doktor falsafah berbanding mereka yang tidak mempunyai kelayakan akademik atau berkelayakan lebih rendah. Ini sememangnya perkembangan membimbangkan di negara yang sudah pun terpecah oleh kaum, ekonomi dan agama.

“Kami mahu mengingatkan setiap rakyat yang bijaksana, tentang peranan penting yang harus mereka mainkan sebagai nurani bangsa.

“Pemegang PhD yang bekerja sebagai ahli akademik menanggung beban berat sebagai pemegang sinar harapan berdasarkan pengetahuan mereka, dan kerja sebagai ahli akademik bukanlah untuk membodek bagi mendapatkan kenaikan pangkat dan perkembangan karier,” kata mereka dalam kenyataan itu.

Sebaliknya, apa yang dilihat kini merupakan kesinambungan dan peningkatan bilangan pengampu yang bermula sejak Mac 2020, dakwa mereka.

Kenyataan itu ditandatangani oleh Presiden KMUM Muhammad Haziq Azfar, penyelaras Demokrat Universiti Malaya Farhan Amran, presiden Umany Yap Wen Qing, pengerusi GPA Nik Azura Nik Nasron, presiden Persatuan Belia Harmoni Malaysia Usaid Asmadi dan pengerusi Angkatan Mahasiswa UM Wan Afiq Ikhwan Wan Alias.

Tiga hari lalu, presiden Pintar Mohd Roslan Mohd Nor berkata 222 pemegang PhD menyokong penuh kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam memberi perkenan terhadap keputusan jemaah kabinet untuk melaksanakan pengisytiharan darurat.

“Menyanjung tinggi keputusan Yang di-Pertuan Agong memberi perkenan terhadap cadangan kerajaan bagi pembentukan satu jawatankuasa bebas yang akan dianggotai oleh ahli-ahli parlimen kerajaan dan pembangkang serta pakar-pakar kesihatan dan yang berkait selain memberi budi bicara kepada jawatankuasa bebas ini untuk mengesyorkan kepada Yang di-Pertuan Agong sekiranya pelaksanaan darurat ini dapat ditamatkan lebih awal daripada tempoh pelaksanaan darurat yang ditetapkan, sehingga 1 Ogos 2021,” katanya dalam kenyataan pada Selasa (12 Jan).

Mohd Roslan turut menggesa semua pihak agar tidak mempersoal apalagi mencabar hal itu memandangkan penularan wabak Covid-19 berada pada tahap amat kritikal dan adanya keperluan pengisytiharan darurat berdasarkan Fasal (1) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan.

Pandangan itu dilihat tujuh persatuan berkenaan sebagai membimbangkan.

Kata mereka, dalam masa darurat, ahli akademik sepatutnya menjadi golongan yang berfikir tentang bagaimana cara terbaik untuk memacu ekonomi negara bagi melindungi rakyat dan membina semula negara.

“Oleh itu, isu ini tak sepatutnya berlegar sekitar pilihan raya umum, sebaliknya ahli akademik perlu perlu berkhidmat untuk rakyat dan negara, bukannya ahli politik..

“[...] Mari kita bekerja bersama, berganding bahu merentasi segala perbezaan, untuk mencari penyelesaian yang bermanfaat buat semua orang,” kata mereka lagi.