Skip to main
Logo Malaysiakini

Kumpulan wartawan minta sidang media dibuat dalam talian

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Kumpulan wartawan hari ini meminta agar sidang media dilakukan secara dalam talian berikutan peningkatan kes Covid-19.

Gerakan Media Merdeka (Geramm) dan Kesatuan Kebangsaan Wartawan (NUJ) berkata, aktiviti sidang media secara bersemuka perlu dihadkan buat masa ini bagi mengelakkan penularan wabak itu di kalangan petugas media.

"Ini susulan perkembangan terkini kes-kes positif Covid-19 melibatkan beberapa orang menteri, ahli parlimen, Adun dan pengiring mereka, secara tidak langsung mendedahkan pengamal media kepada risiko menjadi kontak rapat atau kontak kedua," kata Geramm dalam satu kenyataan.

Seorang jurugambar baru-baru ini disahkan positif selepas membuat liputan sidang media bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad pada 31 Disember lalu.

Manakala seorang blogger yang menghadiri sidang media Ahli Parlimen Padang Rengas, Nazri Aziz pada Selasa lalu juga disahkan positif Covid-19.

Kebanyakan sidang media pada masa ini dilakukan secara dalam talian.

Geramm juga memohon kerjasama pihak berkaitan termasuk jemaah menteri membuka ruang bagi pihak media mengajukan soalan tanpa perlu bertemu secara langsung dalam sidang media.

Sementara itu NUJ juga memohon jasa baik semua pihak memberikan kerjasama kepada petugas media ketika dihubungi bagi mendapatkan komen atau penjelasan mengenai sebarang isu.

"Petugas Media antara golongan yang paling terdedah kepada risiko jangkitan Covid-19 ketika menjalankan tugas, namun acap kali peranan dan keselamatan mereka diketepikan," kata presiden NUJ Farah Marshita Abdul Patah dalam satu kenyataan.

NUJ juga mengingatkan petugas media supaya sentiasa berhati-hati ketika menjalankan tugas dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan.