Skip to main
Logo Malaysiakini

Polis selamatkan 38 kanak-kanak Rohingya jadi pekerja paksa kilang pelitup muka

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Seramai 38 kanak-kanak Rohingya yang disyaki menjadi pekerja paksa di sebuah kilang membuat pelitup muka berjaya diselamatkan polis, Khamis lalu.

Menurut laporan Sinar Harian semalam, serbuan dibuat pada malam 14 Januari di dua lokasi di Selayang, Selangor.

Ketua Penolong Pengarah (D3) Pencegahan Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (Atipsom), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Fadil Marsus, berkata polis menahan enam warga tempatan, termasuk tiga wanita dalam serbuan itu.

"Dipercayai suspek berusia lingkungan 21 hingga 41 tahun ini berperanan sebagai majikan dan pemilik kilang selain penyelia, pembantu serta penjaga.

"Hasil operasi ini, polis bertindak menyelamatkan 38 kanak-kanak berusia lingkungan 13 hingga 17 tahun termasuk tujuh perempuan yang disyaki dijadikan sebagai mangsa pemerdagangan untuk melakukan kerja secara paksa," katanya seperti dipetik.

Fadil berkata, semua kanak-kanak itu memiliki kad Pesuruhjaya Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR).

Katanya lagi, siasatan awal mendapati mereka mula bekerja di kilang itu sejak lebih dua bulan lalu dan ditawarkan gaji RM45 sehari.

"Namun gaji tidak dibayar sejak Disember tahun lalu," katanya sambil menambah syarikat tersebut didapati mengambil pekerja asing tanpa mendaftar dengan Jabatan Tenaga Kerja.

Antara barang yang dirampas ialah dua buku daftar pekerja, tujuh unit telefon bimbit dan 38 kad perakam waktu, katanya.

Katanya lagi, serbuan dengan kerjasama serbuan dengan kerjasama Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak dan Pasukan Petugas Majlis Anti Pemerdagangan Orang (MAPO) Kementerian Dalam Negeri (KDN) itu dibuat setelah risikan selama sebulan.

Semua tangkapan direman tujuh hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 12 dan Seksyen 14 Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (Atipsom) 2007.