Skip to main
Logo Malaysiakini

ULASAN | Kapal kayu zaman tori dan pembantaian gergaji besi

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

ULASAN | Relik (relic) binaan abad ke-18 atau ke-19 dipercayai kapal dangang milik Inggeris itu timbul di Kampung Pagar di mukim Pejom selepas banjir besar baru-baru ini.

Sama seperti aliran bah yang melanda, khabar mengenai relik tersebut menjadi tular dengan pantas. Namun Syukur apabila mendapati ianya kini berada bawah pengawasan dan pengurusan Jabatan Warisan Negara (JWN).

Memang sedikit terlewat, namun tetap ada ruang untuk relik kapal tersebut diselamatkan agar dapat menjadi bahan tatapan sejarah, mudah-mudahan.

Malaysiakini semalam melaporkan berita mengenai langkah JWN itu. Ia sudah tentu suatu perkembangan yang sangat baik lagi bernas. Input yang disampaikan JWN berinformatif serta berfakta, bukannya sekadar petikan cerita-cerita bawaan mulut yang seronok dengan sensasi.

Lebih malang ada antara cerita-cerita yang disebarkan itu sarat dengan tokok tambah dan fantasi.

Hal itu berlaku kerana kebanyakan kita tidak mempunyai maklumat yang betul selain gagal memahami serta menghargai nilai warisan sejarah itu. Maka ia menyumbang kepada apa yang boleh kita istilahkan sebagai pembantaian gergaji besi (chainsaw massacre).

Maka kita melihat relik bernilai itu disiat-siat dan dirobek oleh pihak yang jahil tanpa sedikit pun rasa bersalah atau rugi. Maka ada orang yang 'menyamun' kepingan tembaga pada badan kapal itu semata-mata untuk mendapakan wang segera.

Mesti tahu langkah awal

Kuala Lipis disohorkan sebagai Bandar Warisan Sejarah. Memperkenalkan Kuala Lipis dengan slogan itu sangat kena untuk sebuah pekan tua yang sudah merakam deretan sejarah semenjak zaman tori, atau ratusan tahun dahulu lagi.

Zaman tori itu bermaksud zaman dahulu kala dalam loghat orang Pahang. Loghat bahasa juga termasuk dalam ketogri warisan sebenarnya. Hal ini pun jarang diketahui dan di ambil cakna oleh orang.

Merujuk kepada slogan itu, saya berasa sedikit cuak dan musykil juga. Saya khuatir kefahaman orang ramai sekadar seronok melagukan romatisme kata-kata tersebut saja.

Malang juga identiti Kuala Lipis ini tidak dijiwai sambil menghayati maksud yang terkandung. Rasanya peristiwa pembantaian pada relik yang timbul di Kampung Pagar itu tidak akan terjadi kalau semua orang faham betapa bernilainya sesuatu warisan sejarah.

Komuniti mesti tahu dan maklum apakah langkah-langkah yang perlu diambil apabila ada sesuatu seperti relik itu ditemui. Sekurang-kurangnya di peringkat kepimpinan kampung. Pemimpin masyarakat mesti tahu apakah langkah awal yang perlu diambil.

Pada penemuan sebegitu ada banyak sejarah dan maklumat yang boleh kita pelajari. Malah ada kemungkinan ia ada kaitan secara langsung dengan diri kita sendiri.

Jika pun tidak, kisah dan sejarah yang disimpan relik itu sudah tentu dapat mencelikkan apa yang tidak kita nampak sebelum ini, serta menjelaskan apa yang kabur.

Namun pandangan ini bukanlah bermaksud kita wajar bermain menuding jari ke sana sini. Sebaiknya lebih elok hal ini difikirkan dan diberi penilaian bersama.

Cari jalan bagi memperbaiki kesilapan agar ia tidak berulang. Mungkin JWN dan pihak muzium boleh mengusahakan program kesedaran kepada komuniti setempat.

Juga boleh di bina jalinan kerjasama sukarela di antara pihak JWN, muzium dan NGO setempat.

Kota raya Paris menjual nilai romatisme bersejarahnya dengan Menara Eiffel. Kita di sini pun mampu mengangakat nilai warisan kita ke mata dunia. Syaratnya, tentulah perlukan kebijakan mengolah serta cemat menghargai.

Kita kena ada semangat berbangga dengan jati diri sebagaimana orang kota Paris. Alangkan Bengawan Solo itu dinyanyikan orang saentero dunia, kan. Faham maksud saya?

Cubalah gerak dan aktifkan otak kepada hal-hal yang positif. Maka kita selangkah lebih hampir kepada kelestarian.


UBI MARCHINO ialah pelukis, aktivis alam sekitar dan pengerusi Persatuan Komuniti Sahabat Warisan Lipis (Sawali).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.