Skip to main
Logo Malaysiakini

Remaja dituduh rogol budak perempuan di bekas pusat tahfiz

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Seorang pelajar tingkatan empat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kota Bharu hari ini atas dakwaan merogol seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun.

Pengakuan itu dibuat sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan majistret Kamarul Hasyime Rosli.

Dalam pertuduhan itu, remaja terbabit - ketika kejadian baru berusia 15 tahun - didakwa merogol kanak-kanak perempuan berkenaan dalam bilik di sebuah pusat tahfiz yang sudah tidak beroperasi di Pasir Tumbuh, Kota Bharu.

Kejadian itu berlaku kira-kira jam 3.30 pagi pada 12 Jun tahun lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, remaja itu masih di bawah umur dan hukuman tertakluk mengikut Seksyen 91 Akta Kanak-kanak 2001.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Shahril Ramli, manakala remaja berkenaan diwakili peguam Nik Mohd Nashriq Mohd Nazman.

Terdahulu, Muhammad Shahril mencadangkan agar mahkamah memerintahkan ikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin ke atas tertuduh.

Bagaimanapun, Nik Mohd Nashriq memohon jaminan yang minimum kerana anak guamnya masih bersekolah.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM1,000 dengan seorang penjamin, manakala 25 Feb depan ditetapkan untuk sebutan semula kes.