Skip to main
Logo Malaysiakini

Felda beli 10 juta lagi saham FGV daripada pasaran terbuka

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) membeli 10 juta lagi saham FGV Holdings Bhd daripada pasaran terbuka dengan harga RM13 juta.

Dalam maklumannya kepada Bursa Malaysia hari ini, FGV berkata saham berkenaan dibeli pada harga RM1.30 sesaham semalam.

Pembelian itu meningkatkan jumlah saham FGV yang diperoleh Felda setakat minggu ini kepada 51 juta saham.

Pada Isnin, agensi tersebut membeli 41 juta saham menerusi pasaran terbuka pada harga RM53.3 juta, dengan RM1.30 sesaham.

Minggu lepas, Felda mengumumkan dalam dua maklumannya bahawa ia telah membeli sejumlah 27.15 juta saham FGV daripada pasaran terbuka dengan harga RM1.29 sesaham, atau RM35.02 juta.

Ini, selepas agensi itu mengeluarkan dokumen tawarannya pada hari Selasa minggu lepas (12 Jan) berkaitan dengan tawaran pengambilalihan mandatori tanpa syarat untuk semua baki saham dalam FGV yang tidak dimilikinya, kecuali saham perbendaharaan.

Tawaran RM1.30 sesaham akan dibuka untuk penerimaan sehingga 5 petang, 2 Februari, melain dilanjutkan atau disemak semula.

Pada 8 Dis, 2020, Felda, yang telahpun memiliki 21.24 peratus pegangan dalam FGV, menambah pegangannya dalam syarikat itu kepada 35.12 peratus dan bercadang menjadikan FGV syarikat persendirian pada RM1.30 sesaham.

Tambahan pegangan 13.88 peratus itu dibeli daripada Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (6.1 peratus) dan Urusharta Jamaah Sdn Bhd (7.78 peratus).

- Bernama