Skip to main
Logo Malaysiakini

Tok Pa masih jalani rawatan, gesa ahli politik akur titah Agong

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mustapa Mohamad masih dalam pemerhatian setelah mendapat rawatan selama 11 hari untuk Covid-19.

Dia menulis di laman Facebooknya bahawa doktor masih perlu merawat paru-parunya tetapi dia merasa lebih baik.

"Kandungan oksigen ok, tekanan darah ok, darah keseluruhan ok, makan pun ok walaupun selera belum 100 peratus," katanya di Facebook.

Ahli Parlimen Jeli yang dikenali sebagai Tok Pa itu mengucapkan penghargaan kepada kakitangan di hospital Raja Perempuan Zainab II, yang menurutnya telah bekerja tanpa lelah.

"Covid-19 masih mengancam, hospital dan ICU (unit rawatan rapi) kita semakin penuh. Jaga diri dan keluarga baik-baik.

"Rakyat perlu patuh SOP 100 peratus. Penguatkuasa jangan berkompromi.

"Rakyat dan penguat kuasa ambil serius arahan Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob dan Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah," katanya.

Mustapa turut menggesa ahli politik - tanpa mengira fahaman mereka - untuk mengurangkan "politiking" dan memastikan suhu politik tetap terkawal.

"Patuh dan akurlah dengan titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong bagi menyelamatkan nyawa serta kehidupan kita semua," katanya.