Skip to main
Logo Malaysiakini

ULASAN | 'Tak boleh terima, jika benar tekanan politik pada pensyarah UiTM'

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

ULASAN |  Zaman dunia terbuka kini, menghalang kebebasan bersuara dan berpersatuan - dalam hal ini kebebasan akademik dan politik, bukan sahaja sesuatu yang janggal dan ketinggalan tetapi juga bersifat tidak berperlembagaan.

Kerajaan hari ini mungkin menjadi pembangkang pada hari esok begitulah sebaliknya. Mereka yang berada dalam kerajaan juga kadang-kadang merasakan kedudukan masih seperti pembangkang.

Dalam konteks kepartian di Malaysia yang semakin dinamik dan cair kini, hampir semua parti di Malaysia pernah merasa menjadi kerajaan dan pembangkang - Umno, PKR, PAS, DAP, Bersatu dan sebagainya.

Justeru ketaksuban organisasi dan penjawat awam terhadap sesuatu parti perlu dielakkan selagi sesuatu hal itu dibenarkan mengikut lunas undang-undang negara dan perlembagaan.

Apa lagi kalau universiti kini membenarkan pelajar institusi pengajian tinggi berpolitik selaras dengan perubahan Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) beberapa tahun dahulu.

Di universiti kini ada kelab parti-parti politik dan pelajar bebas untuk ikuti mana-mana parti berdasarkan minat, kesedaran dan ideologi mereka.


BACA BERKAITAN: Dakwaan pensyarah dipaksa letak jawatan, alumni mahu penjelasan


Dakwaan tekanan politik terhadap insan ini, Dr Che Hamdan Che Mohd Razal yang merupakan graduan doktor falsafah (PHD) sains politik seorang profesor sohor di Malaysia (profesor itu kini adalah sarjana tamu di Oxford) merupakan sesuatu yang tidak boleh diterima jika benar ia berlaku.

Universiti seharusnya mempertahankan kebebasan akademik, demokratik dan perlembagaan, dengan menyokong ahlinya untuk bersuara dalam memberi pencerahan, kritik dan teguran - peranan yang terpikul sebagai akademia dan sepatutnya dilakukan, tanpa rasa takut dan memihak, demi kepentingan rakyat dan negara.

Parti politik dan kerajaan yang bersifat sementara sifatnya, juga perlu mengamalkan kekangan dan matang dalam menghormati prinsip ini yang bukan sahaja mengangkat kedaulatan undang-undang tetapi juga ketertinggian perlembagaan.

Dalam hal ini, lawatan ke organisasi parti politik baik kerajaan atau pembangkang tidak seharusnya dilihat dari kaca mata yang politikal dan ideologikal, sebaliknya secara profesional dan terbuka untuk pendedahan kepada para pelajarnya.

Seperti mana yang telah dikatakan tadi, kerajaan hari ini boleh menjadi pembangkang pada hari esok, dan sebaliknya. Aukujuga membenarkan dan perlembagaan juga mempertahankan hak ini.

Malah tiap-tiap tahun kita boleh lihat wakil pelajar Umno berucap pada perhimpunan tahunannya dari zaman BN ke zaman PH.

Hanya pentadbir autokratik atau komunis sahaja yang bersifat partisan dan cuba untuk membentuk universitinya sebagai cabang organisasi parti.

Saya dengan ini bersolidariti dengan pensyarah berkenaan, Dr Che Hamdan yang saya kira adalah sosok penting dalam kajian sains politik di UiTM dan juga negara.

Saya mengharapkan rakan-rakan dan persatuan akademik, pelajar dan media di dalam dan di luar negara mengambil pendirian yang sama dalam menentang sebarang gangguan terhadap kebebasan akademik baik dari dalam atau luar universiti.

[Nota editor: Malaysiakini telah menghubungi pihak UiTM untuk mendapatkan maklum balas berkenaan dakwaan ini.]


DR MUHAMMAD NADZRI MOHAMED NOOR (gambar judul) ialah sarjana sains sosial dan penganalisis politik.

Artikel ini asalnya hantaran penulis di media sosial dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.