Skip to main
Logo Malaysiakini

Tak betul - Bos MDEC nafi ramai eksekutif kanan berhenti

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Pengerusi Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) Rais Hussin Mohamed Ariff menafikan laporan berita yang mendakwa sejumlah eksekutif kanannya telah berhenti dalam beberapa bulan terakhir.

The Vibes sebelum ini melaporkan lapan anggota pengurusan kanan MDEC telah mengundurkan diri.

Menurut laporan itu, agensi kerajaan berkenaan "terbahagi kepada dua kubu" - satu berpihak kepada Rais dan satu lagi bawah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MDEC Surina Shukri.

Rais melalui pesanan mesej kepada Malaysiakini, menyifatkan dakwaan itu "tidak benar" tetapi dia juga berkata sedang meneliti perkara itu.

"Saya mempunyai pasukan saya yang berkerja untuk itu. Akan kembali dengan maklum balas.

Dia juga membantah dakwaan terdapat pengunduran diri secara "en bloc" (keseluruhannya).

Rais dipetik Free Malaysia Today berkata tidak ada "krisis" dalam agensi itu kerana perubahan merupakan suatu hal biasa di dalam organisasi.

"Apabila ada orang pergi maju ke hadapan (move on), yang lain datang bergabung, MDEC tetap jalan terus," katanya.

Menurut The Vibes lapan eksekutif MDEC telah meletak jawatan.

Mereka ialah Ng Wan Peng (ketua pegawai operasi), Nor Faizah Othman (ketua pegawai kewangan), Abdul Malick Aboobakar (ketua pegawai maklumat), Wee Choong Hew (naib presiden pembangunan pelaburan), Hasnul Samsudin (pengarah multimedia kreatif), Norhizam Kadir (naib presiden pembangunan ekosistem pertumbuhan), Suzana Nawardin (pengarah modal insan) dan Darzy Norhalim (pengarah ekosistem ekonomi berkongsi).

Ng dilaporkan berhenti awal bulan ini selepas berkhidmat dengan MDEC selama 18 tahun.

Beberapa minggu lalu, agensi itu mendapat dua eksekutif tertinggi baru - ketua pegawai kewangan Nora Junita Mohd Hussaini dan pengarah modal insan Nazral Safril Mohammad Sapari.

Rais dilantik mengetuai agensi kerajaan itu pada Jun tahun lalu. Bekas ahli Majlis Tertinggi Bersatu itu tetap menjadi anggota parti.

Ditubuhkan pada tahun 1996, MDEC ditugaskan untuk mengembangkan ekonomi digital di Malaysia dan diletakkan bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia.

[Baca berita asal]