Skip to main
Logo Malaysiakini

Siswa, penjawat awam rugi lebih RM72,000 angkara scam

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Seorang pelajar sebuah universiti awam dan seorang penjawat awam masing-masing kerugian RM38,000 dan RM34,500 selepas menjadi mangsa penipuan ‘Macau Scam’ dan ‘Parcel Scam’.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah Supt Elias Omar berkata bagi kes pertama, pelajar berusia 22 tahun dan berasal dari Baling itu menerima panggilan telefon daripada individu yang mendakwa sebagai pegawai di Pejabat Pos Malaysia Negeri Sembilan, pada 9 Jan lepas.

“Suspek telah memberitahu mangsa mengenai satu bungkusan yang mengandungi beberapa kad pengenalan dan kad ATM bank yang kononnya dikirimkan oleh mangsa dari Kedah ke Negeri Sembilan.

“Selepas mangsa menafikan tentang bungkusan itu, mangsa telah diarahkan membuat laporan polis secara dalam talian dan disambungkan kepada seorang suspek lain yang mengaku sebagai pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Seremban,” katanya dalam kenyataan di Alor Setar, hari ini.

Elias berkata, mangsa kemudian dimaklumkan oleh suspek bahawa dia telah terlibat dalam kes penggubahan wang haram dan diminta menyerahkan maklumat perbankan kononnya untuk tujuan siasatan di mana sebanyak RM27,000 kemudiannya dipindahkan dari akaun mangsa ke akaun pihak ketiga.

“Suspek juga memberitahu mangsa bahawa waran tangkap telah dikeluarkan terhadap mangsa dan bagi mengelakkan mangsa ditangkap, pembayaran sebanyak RM2,000 sehari bagi tempoh enam hari perlu dibuat. Mangsa telah membuat pembayaran itu melalui 11 transaksi berjumlah RM11,000,” katanya.

Menurut Elias, mangsa mengalami kerugian keseluruhan sebanyak RM38,000 melibatkan RM27,000 wang simpanannya dan RM11,000 milik ibu mangsa yang diambil tanpa pengetahuan.

Bagi kes membabitkan seorang penjawat awam, Elias berkata mangsa iaitu wanita berusia 34 tahun kerugian RM34,500 selepas berkenalan dengan seorang lelaki Vietnam bernama ‘Tony Nguyen’ melalui aplikasi ‘Tagged’ pada 9 Jan lepas.

Katanya, mangsa yang telah berkahwin dan mempunyai dua anak itu kemudian sering berhubung dengan suspek menerusi aplikasi ‘Line’ dan pada 15 Jan, suspek memberitahu mangsa dia ingin menghantar sejumlah barangan seperti wang, kasut, pakaian dan beg sebagai tanda salam perkenalan.

“Tiga hari kemudian, mangsa telah menerima e-mel kononnya dari syarikat kurier yang menyatakan bahawa barangan itu telah sampai di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim, di Alor Setar dan mangsa perlu membuat bayaran caj cukai serta caj kastam,” katanya.

Katanya, mangsa kemudian telah membuat bayaran menerusi mesin ATM di sebuah bank di Pendang ke tiga akaun pihak ketiga secara berperingkat yang keseluruhannya berjumlah RM34,500.

Elias berkata kedua-dua mangsa yang menyedari ditipu kemudian telah membuat laporan polis pada 20 Jan lepas dan kedua-dua kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Beliau berkata orang ramai dinasihatkan agar tidak mudah terpedaya dengan sindiket penipuan dan sentiasa berwaspada sebelum menyerahkan sebarang maklumat peribadi secara dalam talian kepada individu tidak dikenali.

- Bernama