'Belum ada kluster kedai gunting rambut, benarkan kami beroperasi'
Persatuan Penggunting Rambut Bumiputera Malaysia (MBBA) menggesa kerajaan membenarkan kedai gunting rambut beroperasi sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP 2.0) kali ini.
Presiden MBBA Winda Mohd Tahir berkata tidak adil apabila sektor itu tidak dibenarkan operasi, dan menekankan setakat ini tidak timbul isu penularan wabak Covid-19 melibatkan sektor itu.
"Sampai bila sektor kami dilarang ketika kebanyakan sektor dibenarkan semasa PKP 2.0. Ini tidak adil.
"Sehingga hari ini tidak ada kluster kedai gunting rambut. Perasaan kurang puas hati timbul selepas beberapa perkhidmatan yang dianggap ‘tidak kritikal’ seperti kedai emas dan kedai perabot dibenarkan beroperasi.
“Kami akur dengan keputusan tegas kerajaan tetapi industri kami nampaknya dipandang remeh...Kami mendesak kerajaan membuka ruang kepada sektor gunting rambut menjalankan perniagaan," kata Winda kepada Malaysiakini.
Bermula dengan lima negeri dan tiga wilayah persekutuan, PKP kini telah dilaksanakan di seluruh negara kecuali Sarawak.
Setakat ini, selain senarai awal yang dikeluarkan kerajaan, kedai cermin mata dan dobi layan diri juga telah dibenarkan beroperasi.
Winda memberitahu bahawa pihaknya telah menghantar surat rayuan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Malaysia (KPDNHEP) agar sektor itu dibuka semula.
Mengulas lanjut, dia berkata kedai gunting rambut adalah antara perniagaan yang paling teliti dalam melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.
“Sebenarnya sektor ini tidak perlu dilarang, mungkin boleh hadkan masa operasi melalui temu janji sahaja," katanya lagi.
Dia berkata semakian banyak pemilik kedai gunting rambut yang gulung tikar.
"Mereka tidak mampu bayar sewa premis kerana tiada sumber pendapatan dan bantuan khusus dari kerajaan.
"Sewa premis perlu dibayar ketika tiada sumber pendapatan lain. Tiada bantuan khusus, kami tiada pilihan. Kami ada keluarga dan tanggungjawab lain," katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai