Internet terhad: Pelajar Kampung Pulau Aman gusar cicir pelajaran
Pelajar yang tinggal di kawasan luar bandar seperti di Kampung Pulau Aman dekat Batu Kawan, gusar sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) dalam talian terjejas berikutan capaian internet yang terhad di kawasan itu.
Hanis Syuhada Razali, 16, berkata kawasan rumahnya yang terletak kira-kira 200 meter dari jeti Pulau Aman menyebabkan capaian internet terhad sehingga ada kalanya dia perlu keluar dari rumah untuk mendapatkan akses internet lebih lancar.
"Ada wifi pun kadang-kadang okay...ada kalanya terpaksa keluar rumah semata-mata untuk mencari akses internet lebih laju,” kata pelajar Tingkatan Empat Sekolah Menengah Sains Tun Syed Sheh Shahabuddin Bukit Mertajam.
Hanis Syuhada yang ditemui di rumahnya itu berkata dia tidak mahu hilang fokus dan tercicir dalam pelajaran apatah lagi bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun depan.
Anak bongsu dari empat beradik itu berkata memandangkan buku teks belum diperolehi, dia terpaksa mendapatkan sumber rujukan pelajaran di laman sesawang dan membuat perbincangan dengan rakan sebaya yang lain.
"Saya agak risau tidak dapat belajar secara fizikal dengan guru-guru di sekolah sebab belajar secara fizikal lebih fokus.
“Jujurnya saya bimbang untuk SPM tahun depan sebab maklumat yang diperoleh begitu terhad," kata anak kepada tukang kebun sekolah itu.
Sementara itu, anak kepada pemandu lori Nur Alea Soffiyyah Ahmad Hanif, 16, pelajar di sekolah sama, berkata dia terpaksa menggunakan ‘hotspot’ daripada telefon pintar bapanya bagi memboleh sambungan internet kerana tiada kemudahan wifi di rumahnya.
"Kadang-kadang internet lambat sangat...hendak 'load' video (pengajaran oleh guru) ambil masa pernah sampai dua jam.
"Ada masanya, talian ketika sesi Google Meet dengan guru tiba-tiba terputus dan ini merencatkan proses PdPR. Kadang kala, kalau hendak dapat akses internet yang laju, saya kena pergi (berjalan kaki) hujung tanjung pulau," kata anak sulung dari lima beradik itu.
Dalam pada itu, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Pulau Aman Saidi Abd Majid berkata masalah liputan telekomunikasi di kampung itu sudah lama dialami oleh pelajar dan sekitar 250 penduduk di situ.
"Apa yang dirisaukan ialah jika pelajar keluar rumah semata-mata ingin mendapat akses internet pada waktu malam, sudah tentu ia menimbulkan risiko dari segi keselamatan mereka.
"Kalau boleh, kami mahu operator telekomunikasi naik taraf rangkaian sedia ada ini bagi membolehkan penduduk di sini tidak mengalami masalah dari segi telekomunikasi dan capaian internet yang terhad," katanya yang juga Ketua Kampung Aman.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai