Skip to main
Logo Malaysiakini

Pelajar positif, UPM kata bukan sebab misi di pusat kuarantin

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Universiti Putra Malaysia (UPM) hari ini mengesahkan bahawa seorang pelajar disahkan positif Covid-19.

Bagaimanapun, universiti itu menafikan bahawa misi bantuan sukarelawan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid Berisiko Rendah (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) yang disertai pelajar UPM sebagai puncanya.

"Hanya seorang pelajar sahaja yang disahkan positif Covid-19 pada masa ini. Pelajar berkenaan merupakan wakil pelajar yang sangat aktif dalam pelbagai program bersifat kebajikan dan kesukarelawanan.

"Dakwaan yang mengatakan ianya berpunca dari penyertaan dia dalam misi bantuan sukarelawan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid Berisiko Rendah (PKRC) 2.0 MAEPS adalah andaian yang tidak berasas sama sekali.

"Puncanya masih tidak diketahui," kata Ketua Bahagian Hal Ehwal Pelajar UPM Nuruliman Ibrahim.

Dia berkata demikian ketika dihubungi diminta mengulas dakwaan bahawa beberapa pelajar disahkan positif Covid-19 selepas menyertai misi bantuan tersebut.

"Skop tugasan di PKRC 2.0 adalah dikawal selia oleh pihak Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor. Ia merupakan tempat yang selamat, terkawal dan 100 peratus patuh SOP.

"Malah usaha murni kumpulan sukarelawan UPM ini turut mendapat pujian Menteri Kesihatan, Dr Adham Baba ketika meninjau persiapan dewan tersebut untuk beroperasi mulai 18 Januari ini," katanya.

Sebanyak 75 sukarelawan daripada UPM mengambil bahagian dalam misi memasang katil baharu di sebuah dewan pameran untuk dijadikan tempat kuarantin berkeluarga.

Sementara itu, Nuruliman berkata atas faktor keselamatan beberapa orang pelajar yang ada kontak rapat dengan pelajar tersebut telah diarahkan untuk kuarantin kendiri bawah pengawasan kolej kediaman masing-masing.

"Kondisi semua pelajar adalah baik.

"Pergerakan semua pelajar di dalam kampus untuk keluar bagi mendapatkan barangan keperluan diri turut dikawal dan dipantau pihak universiti.

"Namun pada masa yang sama, risiko pelajar terdedah di persekitaran luar tidak dapat dinafikan," katanya.

"Realitinya, kita semua pada hari ini sentiasa terdedah kepada risiko dijangkiti covid dan adalah amat tidak adil untuk mengatakan ianya semata-mata berpunca daripada aktiviti di PKRC MAEPS," tambahnya lagi.

Semua kes positif Covid-19 dalam kalangan warga UPM dikendalikan oleh Pusat Kesihatan UPM (PKU), Hospital Pengajar UPM (HPUPM) dan Pejabat Pengurusan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSH) UPM.