Skip to main
Logo Malaysiakini

SATIRA | Apa yang negara Musang King boleh belajar dari AS?

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

SATIRA | Banyak yang dapat kita pelajari dalam isu peralihan kuasa daripada Donald Trump (Republikan) kepada Joe Biden (Demokrat) di AS.

Pertama, apabila berasa sudah kalah, dia tidak mengisytihat darurat di seluruh Amerika. Dia tidak buat apa yang pemimpin sesetengah republik pisang di Afrika lakukan.

Trump yang kelihatan gila-gila itu masih bertindak ikut undang-undang. Jika mengikut istilah Rukun Negara, ia adalah kedaulatan undang-undang. Trump masih menghormati badan kehakiman negaranya.

Dia mencabar keputusan pilihan raya di sesetengah negeri di mahkamah undang-undang AS.

Apabila mahkamah menolak petisyen bagi mencabar keputusan pilihan raya itu, Trump - yang kadang-kadang berperangai seperti gedebe - tidak mengisytihar darurat di seluruh AS. Dia juga tidak menggantung parlimen yang terdiri daripada Dewan Senat (Dewan Negara) dan Dewan Perwakilan (Dewan Rakyat).

Trump tidak mengambil tindakan seperti sesetengah pemimpin negara republik pisang di Afrika lakukan apabila kerajaannya hilang majoriti di parlimen. Negara republik pisang di Afrika itu mengisytiharkan darurat dan menggantung parlimen.

Di AS yang kompleks dan beraneka ragam itu, yang kadang-kadang demokrasinya banyak kecacatan, banyak hipokrasi dan tidak sempurna, masih ada sesuatu yang ahli undang-undang dan pemikir silam dunia bernama Montisque akan bersetuju, iaitu tiga cabang utama kerajaan - eksekutif, kehakiman dan parlimen - nampaknya tetap terpelihara.

Ia berlaku dalam keadaan hiruk-pikuk gelagat membabi buta si Trump.

Montisque ialah seorang hakim dan ahli falsafah politik Perancis yang memperkenalkan doktrin pemisahan kuasa dalam sesebuah negara.

Petisyen Trump kena tolak

Hal seperti di AS itu tidak berlaku di sesetengah negara republik pisang di Afrika yang - apabila kuasanya terancam sedikit - pantas mengisytiharkan bahawa badan eksekutif berkuasa penuh, parlimen digantung dan cabang kehakiman dibenar berfungsi tetapi kuasanya dikasi dengan mengeluarkan dikri ordinan darurat yang memansuhkan kuasa semakan kehakiman mahkamah.

Di republik Coca-Cola dan Pepsi Cola AS itu - yang baik sedikit berbanding negara republik pisang di Afrika - kita bisa melihat ramai hakim di mahkamah agungnya dilantik Trump sepanjang empat tahun dia menjadi presiden.

Hakim-hakim ini, ketika membuat keputusan penghakimannya nampaknya masih berdasarkan kepada fakta dan undang-undang yang sedia ada. Kerana itu petisyen cabaran Trump ke atas keputusan pilihan raya yang tidak memihak kepadanya, satu demi satu ditolak di negeri terbabit.

Tidak pula hakim-hakim itu mengikut telunjuk Trump dan mengguna pakai maxim: ada ubi, ada batas; ada budi; adalah yang akan dibalas. Atau maxim yang lebih teruk dipakai di sesetengah negara republik pisang yang korup di Afrika: Engkau tolong aku, aku tolong engkau.

Trump yang berlagak seperti koboi dalam filem klasik TV hitam putih Wild Wild West nampaknya masih menghormati Perlembagaan AS (jika ikut Rukun Negara kita, ia dikenali sebagai keluhuran perlembagaan).

Apabila dia nampak Speaker Dewan Perwakilan AS - seorang wanita bernama Nancy Pelopsi - memanggil sidang khas parlimen untuk memecatnya selepas dituduh menghasut penyokong berhimpun, menggempur dan merusuh di bangunan Parlimen AS di Capitol Hill, Trump tidak pula bertindak macam sesetengah negara republik pisang di Afrika.

Di republik pisang Afrika itu, pemimpinnya menjatuhkan speaker parlimen untuk menggantikannya dengan speaker baru hasil lantikannya sendiri secara paksa. Ia dibuat anpa proses mengundi dan demokrasi.

Seburuk-buruk Trump yang suka bermain Twitter - sehingga akhirnya akaunnya diharamkan - dia tidak mengganggu parlimen AS bersidang. Dia tidak campur tangan dalam hal ehwal operasi parlimen di negaranya.

Di AS - yang tidak ada jawatan menteri di Jabatan Presiden untuk mengelola hal ehwal undang-undang dan Parlimen - Trump tahu sidang itu bertujuan untuk memecatnya.

Trump tidak berbuat seperti sesetengah negara republik pisang di Afrika yang akan menggantung parlimen apabila satu demi satu ahli parlimen blok kerajaan menarik sokongan kepadanya.

Mahu kekal di puncak kuasa

Ada beberapa orang ahli kabinet Trump yang meletak jawatan sebagai tanda tidak percaya kepada bilionair itu, tetapi dia tidak lekas panik untuk menekan butang darurat.

Presiden ke-45 AS itu tidak cuba lari-lari daripada usul tidak percaya di parlimen seperti di sesetengah negara republik pisang di Afrika.

Walaupun tarikh peralihan kuasa - 20 Jan 2021 - semakin hampir dan pandemik Covid-19 di AS semakin memburuk dengan kematian rakyatnya mencecah ratusan ribu orang Trump yang agak sewel kerana membantah memakai mask atau pelitup muka itu masih ada masa menggalakkan saintisnya menghasilkan vaksin secepat mungkin.

Trump tidak lakukan - apabila dia mulai tenggelam dan hilang kuasa - seperti sesetengah pemimpin negara republik pisang di Afrika lakukan, iaitu menggunakan alasan Covid-19 untuk mengisytiharkan darurat dan menggantung parlimen untuk membolehkan kerajaan pisang yang minoriti dan tiada majoriti itu kekal di pucak kuasa.

Bandingkanlah apa yang berlaku di republik Coca-Cola dan Pepsi Cola di benua Amerika yang ditemui Columbus itu dengan sesetengah negara republik pisang di benua Afrika seperti Zimbabwe pada zaman Robert Mugabe.

Kemudian perhatikan pula apa yang sedang berlaku di negara Musang King di Semenanjung Emas dan Bumi Kenyalang serta Gunung Kinabalu di seberang Laut Cina Selatan sekarang ini.


HASSAN ABDUL KARIM ialah ahli parlimen Pasir Gudang.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.