Skip to main
Logo Malaysiakini

KATA MP | Apa kesan darurat kepada Farid dan Jacky?

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

KATA MP | Farid seorang pekerja syarikat pemindahan dan pembungkusan sehinggalah dia diberhentikan kerja beberapa bulan yang lalu ketika syarikat tidak lagi dapat menampung kakitangan kerana kurang perniagaan.

Beliau menemui saya tiga minggu yang lalu untuk memohon modal RM100 bagi memulakan perniagaan nasi lemak.

Saya tidak fikir, perniagaan dia akan kekal disebabkan terlalu banyak gerai nasi lemak di Wangsa Maju sejak Menteri Wilayah, Annuar mengumumkan semua orang dibenarkan membuka gerai berniaga di mana mana dalam Kuala Lumpur.

Ternyata benar, di mana akhirnya Farid gagal dalam perniagaan dan kembali tidak bekerja.

Jacky pula adalah pelatih saya dan juga penuntut Diploma di Kolej TAR. Bagi membiayai yuran kolej, dia membasuh pinggan di restoran pada sebelah malam.

Dia telah memberitahu saya bahawa dia baru sahaja kehilangan kerja sambilan itu disebabkan tiada lagi pinggan untuk dicuci semenjak restoran tidak dibenarkan makan di kedai apabila bermulanya PKP.

Tambahan beliau pula, restoran ini bakal ditutup tidak lama lagi kerana pelanggan yang semakin berkurangan dan tidak mampu menampung kos operasi perniagaan.

Sudah pasti terdapat ratusan ribuan pekerja dan pekerja sambilan seperti Farid dan Jacky yang hilang pekerjaan mereka disebabkan Covid-19.

Tetapi, yang paling buruk masih belum berlaku. Pengisytiharaan darurat bukan sahaja memusnahkan harapan untuk ekonomi kembali pulih malah menyebabkan lebih banyak perniagaan tutup.

Ramai rakyat Malaysia yang sedang mencari rezeki pada waktu kesusahan ini tidak ambil kisah dengan darurat atau penggantungan Parlimen. Namun, hakikatnya ini amat penting buat mereka walaupun mereka tidak memahaminya.

Kesan pada ekonomi

Sentimen pelaburan sebahagian besarnya berdasarkan persepsi. Pengisytiharan darurat selama enam bulan menandakan ketidakstabilan politik dan krisis.

Dakwaan Perdana Menteri bahawa darurat diperlukan untuk mengawal penyebaran Covid-19 dan bahawa ia bukan peraturan ketenteraan tidak cukup baik sebagai jaminan kepada para pelabur, baik dalam dan luar negara.

Rasionalnya di semua negara lain, darurat untuk membendung penyebaran virus di mana kebanyakannya hanya berlaku dari beberapa hari hingga dua minggu, dan tidak pernah melebihi dua bulan.

Mengapa Malaysia, yang hanya berkedudukan 69 dari 219 negara di dunia dari segi jumlah kes Covid-19 memerlukan sehingga 6 bulan? Mengapa penggantungan Parlimen sedangkan itu bukan norma untuk keadaan darurat kesihatan?

Kesimpulan paling logik adalah Kerajaan PN, yang hanya memiliki empat undi majoriti di Parlimen, sedang runtuh, dan tujuan darurat hanyalah untuk menghentikan Parlimen dari mengadakan usul undi tidak percaya.

Tiada pelabur yang waras akan melabur di negara ketika kerajaannya akan runtuh, dan masa depan negara itu tidak dapat diramalkan.

Azmin Ali bercakap perkara yang tidak masuk akal ketika dia mengatakan bahawa perlaksanaan keadaan darurat tidak akan mempengaruhi keyakinan pelabur.

"Sejak darurat yang diisytiharkan pada 12 Januari, kegiatan perniagaan terus berjalan seperti biasa", dia mempertikaikannya pada 17 Januari, hanya 5 hari selepas pengisytiharaan darurat.

Adalah amat memalukan bagi Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri untuk tidak mengetahui bahawa apabila pelabur memutuskan untuk tidak melabur di Malaysia atau memindahkan kilang mereka ke negara lain, kesannya dibawah tidak akan terasa dalam beberapa hari tetapi kesannya pasti mendatang.

Pelaburan Langsung Asing (FDI) di Malaysia mengalami penurunan sejak 10 tahun kebelakangan ini, diatasi oleh Indonesia, Vietnam dan Thailand. Darurat ini dimana telah merosakkan keyakinan pelabur adalah satu lagi tamparan besar dalam usaha kita menarik FDI.

PKS terjejas

Namun kesan darurat ini bukan hanya mengenai FDI, perniagaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan juga terjejas. Sebilangan besar PKS kita adalah kontraktor dan pembekal perkhidmatan kepada Syarikat Multinasional (MNC).

Apabila syarikat MNC mula meninggalkan negara atau mengecilkan operasi mereka, syarikat PKS juga harus memberhentikan pekerja mereka. Syarikat PKS yang tidak bergantung pada MNC atau syarikat besar untuk perniagaan juga dipengaruhi oleh suasana pasif keseluruhan di negara ini.

Bagi menghadapi ketidakpastian dalam keadaan darurat dan menjangkakan ekonomi tanpa pertumbuhan untuk beberapa tahun ke hadapan, beberapa PKS menangguhkan rancangan pengembangan mereka, manakala yang lain memilih untuk menghentikan operasi mereka sementara menunggu krisis politik berakhir.

Akibatnya, berlaku hanya sedikit aktiviti ekonomi dan sedikit pusaran wang tunai di pasaran semakin terhad. Ini menyebabkan, semakin sedikit orang yang akan membeli rumah atau melakukan pengubahsuaian dan makin sedikit pelanggan akan pergi ke restoran dan pasar raya.

Di penghujung rantaian tindakan dan reaksi ekonomi inilah bakal terdapat ratusan ribuan rakyat kerdil seperti Farid dan Jacky yang hilang pekerjaan dan mengganggur.

Mereka tidak mampu berbuat apa apa selain bergantung harapan dari “handout” Putrajaya dan pemulihan ekonomi yang cepat. Namun malangnya, “Big Shot” di Putrajaya yang gila kuasa telah membiarkan dan meninggalkan mereka ini.


Dr Tan Yee Kew merupakan Ahli Parlimen Wangsa Maju.

Tulisan ini merupakan pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.