Skip to main
Logo Malaysiakini

Dr M: Saya sihat, Alhamdulillah

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad mengeluarkan video memaklumkan keadaan kesihatannya selepas tular dakwaan dia dimasukkan ke hospital.

"Sabtu, 23 Januari - saya ada di rumah," katanya pada ciapan di Twitter.

Kicauan itu disertai hantaran: "Saya sihat Alhamdulillah."

Terdahulu, pesanan yang tersebar di media sosial, termasuk di WhatsApp, yang menyatakan Dr Mahathir tidak sihat dan mengalami kesukaran bernafas adalah palsu, menurut beberapa individu yang rapat dengan bekas perdana menteri itu.

Anaknya Marina, serta salah seorang pembantu Mahathir, mengesahkan kepada Malaysiakini yang dia tidak dimasukkan ke hospital mahupun sakit.

"Tun Dr Mahathir masih sihat walafiat dan berada di rumah hari ini. Alhamdulillah," ciap pembantunya Adam Mukhriz Muhayeddin di Twitter.

Pesanan itu tersebar sehari selepas Mahathir memaklumkan di blognya yang seorang ahli keluarganya dijangkiti Covid-19 dan kemudian menjangkiti beberapa yang lain, ketika menjalani kuarantin di rumah.

Menurut Mahathir, pesakit itu diarahkan kuarantin di rumah memandangkan keadannya tidak teruk. Bagaimanapun dia dimasukkan ke hospital setelah keadaannya memburuk, termasuk mengalami kesukaran bernafas.

Dia kemudian menasihatkan kerajaan agar menimbang semula ketetapan kuarantin di rumah bagi pesakit Covid-19 yang berisiko rendah.

Pada masa ini, protokol Kementerian Kesihatan (KKM) adalah membahagikan kes positif kepada lima kategori, dengan Kategori 1 (tiada gejala) dan Kategori 2 (gejala ringan) diarahkan untuk kuarantin di rumah.