Skip to main
Logo Malaysiakini

Rindu saat jadi cikgu, pensyarah buka kelas di Youtube

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Sesekali dia terkenang-kenang pengalaman singkat mengajar di sekolah.

Tamat pengajian pada 2010, Firdaus Azis, 34, mengajar sementara sebelum melanjutkan pelajaran ke peringkat sarjana. Beberapa tahun kemudian, sekitar 2015 hingga 2016, dia menjadi guru di sekolah asrama sebelum ditawarkan jawatan pensyarah biologi di Fakulti Sains Gunaan, UiTM Perlis.

Kata Firdaus, pengalaman singkat mengajar di MRSM Kuantan dan SM Sains Alam Shah banyak menggamit ingatan dan itulah sebenarnya dia mula tergerak hati membuka saluran Youtube 'Firdaus Mendel'.

Menerusinya dia mengajar subjek biologi bagi pelajar tingkatan 4 dan 5.

“Minat saya memang sentiasa ada pada sekolah, sebab ijazah sarjana muda saya memang pendidikan biologi. Bila dah lama tinggal tu, kadang-kadang kita teringat balik zaman kita mengajar di sekolah.

“Saya terfikir macam mana nak tolong pelajar sekolah, sebab saya sekarang mengajar di peringkat diploma dan ijazah sarjana muda. Macam mana saya boleh buat?

“Jadi saya fikir ada Youtube sebagai medium, jadi saya usahakan,” katanya kepada Malaysiakini.

Dengan video pertama dimuat naik pada Disember 2018, saluran Firdaus Mendel yang memberi tumpuan pada subjek biologi tingkatan 4 dan 5 dan subjek sains kini sudah mempunyai hampir 15,000 pengikut dengan hampir 850,000 tontonan.

Menonton videonya, kita akan melihat bahan pengajaran - sama ada nota atau gambar rajah - adalah menggunakan tulisan dan lukisan tangan.

“Pada akhir 2018, saya dapat tahu kita boleh rakam skrin menggunakan Ipad Pro. Sebelum itu (selalu fikir) macam mana saya nak sampaikan pengajaran.

"Jadi selepas itu memang saya guna Ipad saja. Tak guna kamera mahupun telefon (untuk rakam). Ia sangat membantu.

"Nota dan lukisan yang saya gunakan dalam video memang 100 peratus saya sediakan sendiri," katanya sambil menjelaskan dia tidak mengambil gambar daripada internet kerana bimbang timbul isu hak cipta.

Secaa asasnya video Firdaus memaparkan nota yang ditulis sendiri - biasanya selepas waktu kerja dan hujung minggu - dan berlatarkan suaranya mengajar. Sesekali dia mencoret pada notanya untuk memberikan penjelasan lanjut.

Nota-nota itu turut dijual bagi sesiapa yang berminat.

“Petang atau malam (hari minggu), dan Sabtu dan Ahad memang penuhlah jadual saya, dari pagi sampai ke petang untuk usahakan (bahan pengajaran)."

Setakat ini, bahan pengajaran untuk subjek biologi sudah pun merangkumi semua silibus baru Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) tingkatan 4 dan 5, manakala silibus untuk subjek sains sedang dikemas kini.

Meskipun saluran 'Firdaus Mendel' banyak memakan masa peribadi, dia tidak kisah memandangkan ia sudah menjadi minatnya.

Impian tercapai

“Saya kalau dapat tolong seorang dua orang pun sebenarnya sudah berbesar hati. Saya suka tengok pelajar faham. Saya suka dapat sumbang sesuatu kepada mereka walaupun saya bukan lagi guru sekolah," katanya.

Dia menerima banyak maklum balas, sama ada di Youtube atau pesanan di telefon. Namun baginya komen "paling besar" adalah apabila para pelajar di salurannya mendoakan kemurahan rezeki dan kemudahan urusan buatnya.

Setakat ini, kata Firdaus, melalui Youtube dia berasa impiannya untuk membantu pelajar sekolah sudah tercapai.

Menurutnya, salurannya sudah mencatat kira-kira 100,000 jam tontonan - sesuatu yang mungkin tidak dapat dia capai jika mengajar di kelas fizikal.

Dia merancang untuk menyiapkan lebih banyak kandungan, termasuk silibus baru KSSM untuk subjek sains dan kandungan biologi dalam bahasa Inggeris bagi memenuhi permintaan penontonnya.

“Pelajar minta macam-macam dengan saya, ada yang minta buat bahasa Inggeris untuk program dwibahasa (DLP). Keutamaan saya mestilah kerja asas (sebagai pensyarah).

“Mereka mesej dan tanya, ‘cikgu, kenapa tak buat lagi?’. Cikgu minta maaf banyak-banyak. Kalau boleh dan ada banyak masa, memang cikgu nak tolong semua orang tapi tak sempat.

“Saya nak cuba sediakan (bahan pengajaran) tingkatan 5 untuk KSSM subjek sains. Pada masa akan datang mungkin biologi dalam bahasa Inggeris.

“Sikit-sikitlah saya buat. Orang kata, selangkah demi selangkah. Walau lambat, sampailah juga ke hujungnya,” katanya lagi.