Skip to main
Logo Malaysiakini

'K'jaan perlu jamin golongan rentan tak tercicir dalam pendidikan di tengah Covid-19'

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) mengingatkan kerajaan berkenaan tanggungjawab menghalang keciciran, terutama di kalangan golongan rentan, dalam bidang pendidikan.

Suhakam menyuarakan peringatan itu dalam kenyataan sempena Hari Pendidikan Antarabangsa, hari ini.

Menurut suruhanjaya itu, wabak Covid-19 telah menjejaskan akses pendidikan dan ia perlu ditangani.

"Tema Hari Pendidikan Antarabangsa bagi tahun ini, iaitu 'Memulihkan dan Menggiatkan Semula Pendidikan untuk Generasi Covid-19' adalah sesuai kerana ia menggambarkan salah satu cabaran utama yang dihadapi oleh ramai orang di seluruh dunia termasuk Malaysia, iaitu akses kepada pendidikan.

"Akses pendidikan yang sama rata adalah hak asasi yang termaktub di bawah Artikel 12 Perlembagaan Persekutuan. Pandemik Covid-19 bukan hanya mengakibatkan impak buruk terhadap kesihatan dan ekonomi, ia juga memberikan cabaran kepada pelajar dari segi akses kepada pendidikan," katanya.

Katanya, walaupun sekolah dan universiti menggunakan kelas dan kuliah secara dalam talian, bukan semua pelajar dapat mengaksesnya memandangkan ada golongan kurang bernasib baik tiada akses terhadap internet atau peralatan elektronik.

"Dalam hal ini, Suhakam memuji usaha murni pelbagai pihak termasuk badan bukan kerajaan, ahli Parlimen dan Adun yang menyediakan bantuan komputer riba dan tablet kepada pelajar yang kurang berkemampuan," katanya lagi.

Suhakam maklum dengan peruntukan RM47.2 bilion terhadap Kementerian Pendidikan dan RM11.6 bilion kepada Kementerian Pengajian Tinggi dalam Belanjawan 2021.

"Di tengah-tengah pandemik ini, kerajaan perlu fokus kepada usaha mitigasi bagi pembelajaran yang ketinggalan dan mengelakkan keciciran terutamanya di kalangan golongan rentan dalam negara ini.

"Dalam hal ini, kami menggesa kedua-dua Kementerian untuk mempercepatkan penambahbaikan kemudahan pendidikan dan menyediakan bantuan bagi membolehkan pendidikan secara maya dan persekitaran pendidikan yang kondusif untuk semua di seluruh Malaysia, tanpa meninggalkan sesiapa."

Suhakam turut membangkitkan keperluan pelaksanaan langkah berjaga-jaga dan prosedur operasi standard (SOP) yang tegas bagi memastikan keselamatan pelajar yang akan menduduki peperiksaan dan perlu hadir ke sekolah.

"Sebagai usaha untuk mempromosikan keterangkuman pendidikan hak asasi manusia di sekolah, Suhakam dengan kerjasama Kementerian Pendidikan setakat ini telah melaksanakan program Amalan Terbaik Hak Asasi Manusia (Atham) di 469 sekolah di seluruh Malaysia.

"Tambahan pula, kami telah menerima pakai Pelan Strategik 2021-2025 pada tahun 2020 dan salah satu daripada objektif strategiknya adalah menghapuskan diskriminasi kaum melalui pendidikan," katanya lagi.