Skip to main
Logo Malaysiakini

Gabungan kesihatan: Jangan abai kebajikan petugas barisan depan

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Gabungan Kesihatan Malaysia menggesa kerajaan dan semua rakyat untuk menjaga kebajikan petugas kesihatan yang bergadai nyawa memerangi wabak Covid-19 pada masa ini.

Gabungan itu - yang dianggotai 49 pertubuhan profesional yang mewakili doktor, pakar, jururawat, ahli farmasi dan pengamal kesihatan lain - ia di saat semakin ramai petugas barisan hadapan mengalami kelesuan (burnout) susulan peningkatan penularan.

“Trend ini tidak mengejutkan kerana mereka telah berdepan Covid-19 hampir setahun.

“Kita harus melaksanakan tugas untuk menjaga mereka, sebagaimana mereka menjaga kita," menurut gabungan itu dalam kenyataan.

Tuntutan gabungan itu kepada kerajaan merangkumi tiga perkara utama - memperkuat sokongan psikologi dan kesihatan mental; mendengar permintaan dan aduan petugas barisan hadapan dan memberi mereka jawatan tetap dan keselamatan kerja.

“Pemulihan dari segi mental dan emosi akibat wabak ini akan ambil masa, jadi hal-hal ini perlu diwujudkan untuk memastikan kakitangan kesihatan menerima sokongan untuk tahun-tahun mendatang," katanya.

Mereka turut merujuk laporan media mutakhir ini berhubung petugas barisan hadapan yang menceritakan keadaan mereka, termasuk dua kakitangan Hospital Sungai Buloh - hospital utama dalam rawatan Covid-19 di Malaysia.

Susulan itu, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) memberi maklum balas terhadap apa yang dibangkitkan, antaranya dengan mengatakan perlunya semua sektor dalam perkhidmatan kesihatan awam mengekalkan semangat di kalangan kakitangan.

Bagaimanapun, gabungan itu mengulangi gesaan supaya kerajaan memberi lebih perhatian terhadap apa yang disuarakan kakitangan kesihatan tersebut, selain menjamin persekitaran kerja yang sihat dan selamat untuk mereka.

“Pembuat dasar harus ingat, keselamatan kakitangan hospital juga bersamaan dengan keselamatan pesakit.

Berhubung masalah jaminan pekerjaan, gabungan itu turut mengulangi gesaan agar kerajaan mewujudkan lebih banyak jawatan tetap dan lanjutan tempoh kontrak terhadap pegawai perubatan dan profesional lain.

“Petugas barisan hadapan kita perlu diiktiraf atas pengorbanan mereka.

“Kita harus berbuat demikian dengan memastikan kerjaya mereka terjamin, yang akan menjadikan masa depan sistem kesihatan turut terjamin,” katanya lagi.

Semalam, Malaysia telah mencatatkan rekod tertinggi kes baru Covid-19 sebanyak 4,275 kes, dan pada masa sama rekod tertinggi untuk kes sembuh, iaitu sebanyak 4,313 orang.