Skip to main
Logo Malaysiakini

PKP: Kelantan mohon tambah kuota jemaah solat Jumaat

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Kerajaan Kelantan membuat permohonan kepada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Kelantan (Maik) supaya melonggarkan jumlah individu yang dibenarkan menunaikan solat Jumaat dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di negeri itu.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan, Dr Izani Husin berkata setakat ini jumlah individu yang dibenarkan solat Jumaat di masjid dalam satu-satu masa dihadkan seramai 12 orang sahaja.

Jelasnya, mesyuarat Khas Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri (JKKN) negeri Kelantan bersetuju membuat permohonan supaya jumlah jemaah untuk solat Jumaat ditingkatkan kepada 50 jemaah.

"Apa yang penting, setiap individu perlu mengutamakan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan memandangkan virus ini sudah hidup dalam masyarakat, maka kita kena sentiasa berjaga-jaga," katanya pada sidang media selepas mesyuarat tersebut yang dipengerusikan Menteri Besar, Ahmad Yakob, di Kompleks Kota Darulnaim, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Dr Izani berkata Kelantan bersetuju dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk memanjangkan tempoh operasi premis perniagaan sehingga jam 10 malam berbanding sebelum ini jam 8 malam.

Bagaimanapun katanya, aktiviti perniagaan seperti pasar malam masih belum dibenarkan.

"Bagi stesen minyak yang berkeperluan, mereka boleh membuat permohonan untuk memanjang tempoh operasi," jelasnya.