Muhyiddin: Pemimpin parti PN puas hati penjelasan isu darurat
Pemimpin-pemimpin parti dalam kerajaan Perikatan Nasional berpuas hati dengan penjelasan dan perbincangan mendalam mengenai Ordinan Darurat, pengurusan darurat serta pengurusan pandemik Covid-19 di negara ini, kata Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.
Muhyiddin yang mempengerusikan mesyuarat Majlis Presiden Kerajaan Perikatan Nasional (PN) hari ini berkata antara yang turut dibincangkan adalah pelan imunisasi vaksin yang akan bermula bulan depan.
"Saya bersyukur mesyuarat berlangsung lebih kurang dua jam dalam suasana akrab dan muhibah serta (semua pihak) menyambut baik taklimat daripada Menteri di Jabatan Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Takiyuddin Hassan, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Norhizan Ismail mengenai Proklamasi Darurat," katanya menerusi hantaran di laman Facebook rasmi beliau, malam ini.
Muhyiddin berkata mesyuarat yang diadakan secara dalam talian petang tadi itu disertai 12 presiden parti iaitu daripada Bersatu, Umno, PAS, PBB, MCA, MIC, PRS, SUPP, PDP, PBS, STAR dan SAPP manakala PBRS diwakili Timbalan Presiden parti itu.
Beliau berkata Majlis Presiden akan terus menjadi platfom perbincangan tertinggi bagi semua parti politik dalam kerajaan PN demi memastikan kestabilan politik dan kelancaran pentadbiran kerajaan serta menjamin keselamatan dan kesejahteraan rakyat dan negara.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai