Skip to main
Logo Malaysiakini

Dari analog ke digital, sedekad Cikgu Romie terus berkarya

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Pada masa sekarang, bukan aneh melayari Youtube untuk mencari kandungan pendidikan berbahasa Melayu.

Sudah ramai orang membuka saluran Youtube untuk tujuan pendidikan, bahkan para guru juga tidak ketinggalan memanfaatkan platform video berkenaan untuk berkongsi bahan pengajaran

Namun, menurut seorang guru, Romizal Amir Rosdi, 42, keadaan jauh berbeza sedekad lalu, sebelum keadaan perlahan-lahan berubah daripada zaman analog ke zaman digital - yang menjadikan perkongsian video pendidikan lebih mudah pada masa kini.

Menceritakan pengalaman membuka saluran Youtube pada 2010, katanya, untuk merakam videonya mengajar, dia terpaksa mereka penukar (switcher) sendiri bagi membolehkan rakaman beralih daripada satu kamera ke kamera yang lain

Kerana dulu, kata Romizal, tidak ada perisian penyiaran seperti sekarang, yang membolehkan pelbagai alat disambung pada komputer yang sama dan dikawal menggunakan perisian.

“Waktu itu, kabel dia bukan USB, tapi kabel RCA. Saya kena reka alat untuk gabungkan dua tiga kamera, lepas tu ada penukar, untuk tukar kamera mana yang kita nak guna (semasa merakam),” katanya.

Bukan tak ada alatan sedemikian di pasaran, tetapi pada waktu itu, kosnya amat mahal, di luar kemampuannya sebagai seorang guru.

Itupun, alatan yang direkanya bagi menggabungkan beberapa kamera yang disambungkan pada komputer dan dikawal menggunakan penukar, menelan kos keseluruhan hampir RM10,000 - termasuk kos daripada kaedah cuba jaya bagi mendapatkan hasil terbaik yang diinginkannya.

“Tapi, sekarang, dengan RM1,000 pun kita dah boleh buat. Ha, macam itu punya bezanya. Sebab dah digital dan mudah. Guna telefon pun boleh. Kalau tak ada webcam, boleh guna telefon.

“Kalau dulu, memang kena cari kamera litar tertutup (CCTV), dan banyak peralatan. Dia lebih teknikal,” kongsinya.

Guna teknologi layar hijau

Romizal mempunyai dua saluran Youtube. Satu, 'Cikgu Romie LKJ' - dibuka pada 2010 khusus untuk subjek Lukisan Kejuruteraan (kini dipanggil subjek Grafik Komunikasi Teknikal) - manakala satu lagi saluran Cikgu Romie - dibuka pada 2011 khusus untuk subjek Matematik Moden.

Saluran 'Cikgu Romie LKJ' kini mempunyai lebih 10,000 pelanggan dengan lebih 1.5 juta tontonan, manakala saluran Cikgu Romie pula setakat ini sudah mengumpul 56,000 pelanggan dengan lebih 7.5 juta jumlah tontonan.

Jika menonton video-video Romizal, dapat dilihat bahan pengajarannya menjadi latar belakang video, manakala imej Romizal yang sedang mengajar dalam loghat Perak pula bertindih di hadapan, di sudut bawah, sambil memegang pen digital, dan lengkap memakai mikrofon.

Sesekali, terdengar suara pelajar menjawab soalan yang dia ajukan. Mungkin ada penonton tertanya-tanya dari mana suara pelajar itu datang, adakah daripada siri telesidang atau siaran langsung?

“Sebab semua video saya dalam Youtube tu adalah rakaman yang memang saya mengajar di dalam kelas. Budak-budak masuk ke studio (diubah suai daripada bilik kelas), saya mengajar dan rakam,” jawabnya sambil ketawa.

“Sebab saya tak nak buang masa. Kalau kita mengajar (di sekolah), lepas tu balik rumah baru nak rakam, saya tak ada masa. Semuanya menggunakan teknologi layar hijau,” katanya lagi.

Katanya, dia mula menggunakan teknologi layar hijau sejak 2012 lagi di sekolah lamanya, SMK Seri Setia Teluk Intan dengan mengubah suai bilik kelas supaya dapat berfungsi sebagai studio rakaman, dan hal sama turut dilakukan di sekolahnya kini, SMK Sultan Abdullah, Kampong Chenderong Balai, Perak.

Semua kos peralatan ditanggung olehnya sendiri.

Kerana itulah, jika menonton video lamanya sebelum itu - sekitar 2010 dan 2011 - ketika dia masih merakam secara analog, rakamannya agak berbeza. Siaran video beralih antara paparan bahan pengajaran dengan Romizal yang sedang mengajar.

Semuanya dikawal menggunakan alatan ‘penukar’ yang disebutnya tadi, dan video juga hanya terdapat dalam format FLV yang kurang berkualiti.

Kenapa Romizal rakam video mengajar?

Kata Romizal, dia tidak mahu mensia-siakan ilmu berkaitan video yang memang diminatinya sehingga pernah menjadi juruvideo perkahwinan sambilan sekitar tahun 2004 hingga 2005, sebelum dia berhenti.

Ilmu itu, katanya, dia aplikasikan dalam bidang pendidikan. Pada awalnya, dia hanya merakam video mengajar di dalam kelas Lukisan Kejuruteraan untuk memudahkan pelajarnya mengulang kaji, memandangkan subjek itu adalah teknikal dan tidak boleh dihafal semata-mata.

Video itu dikongsikan dalam pemacu pena kepada pelajar-pelajarnya supaya mereka boleh mengulang kaji di rumah, sebelum kemudiannya turut mula berkongsi di Youtube setelah membuka saluran 'Cikgu Romie LKJ' pada 2010.

Pernah dianggap gila

Meskipun pernah dikatakan gila oleh orang sekeliling, kata Romizal, dia tidak kisah semua itu. Malah dia berasakan rugi jika platform Youtube tidak dimanfaatkan untuk menyampaikan kandungan pendidikan.

Bahkan, kata ayah kepada empat orang anak itu lagi, selain saluran Youtubenya, hanya ada beberapa saja saluran pendidikan dalam bahasa Melayu pada masa itu.

Kini, sedekad berkecimpung menjadi ’cikgu Youtuber’, berkongsi video-video pengajaran, kata Romizal dia berasa dihargai apabila ada pelajar yang mengenalinya melalui Youtube, menegur dan mengucapkan rasa terima kasih apabila bertemu di luar.

Tetapi, dalam banyak-banyak komen yang diterimanya, dia paling tersentuh bukan dengan komen pelajar, tetapi komen yang ditinggalkan ibu bapa.

“Ada ibu bapa yang sendiri belajar. Emak yang tengok video saya, untuk ingat balik (subjek), dan kemudian dia ajar anak dia sendiri.

“Saya sendiri tersentuh baca komen itu,” katanya yang mengaku berasa terdorong dengan komen sebegitu untuk menghasilkan kandungan lebih baik di masa depan.

Bagi guru lain yang turut mahu berkecimpung dalam dunia Youtube, apa yang penting, kata Romizal, istiqamah. Walaupun jika video hanya mencatat satu tontontan, jangan berhenti.

Bahkan, dia tak segan silu mengaku, jumlah tontonan dan pelanggannya sebenarnya benar-benar melonjak naik bermula perintah kawalan pergerakan (PKP), Mac tahun lalu.

Berdasarkan analisis salah satu saluran Youtubenya, daripada purata 1,000 tontonan setahun, ia melonjak menjadi 10,000 tontonan setahun.

Jika sebelum PKP, bilangan pelanggannya adalah seramai 30,000, dalam tempoh PKP, ia melonjak menjadi 55,000 - peningkatan 25,000 pelanggan dalam waktu yang sangat singkat.

Yang lucunya, cerita Romizal, ketika mula PKP dahulu, tidak seperti cikgu-cikgu lain yang kelam kabut memikirkan kelas dalam talian, dia sudah mempunyai video yang dirakam sejak 10 tahun lalu untuk dijadikan bahan pengajaran.

“Teman senyum je lah. Bila belajar dari rumah, teman kongsi je video yang teman pernah ajar dalam kelas, tambah latihan-latihan,” katanya sambil ketawa.

Tertarik dengan kaedah pengajaran video semasa lawatan ke Jepun, bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad pada Sep 2009 meminta kaedah pembelajaran secara rakaman oleh guru yang terpilih untuk dikongsi dengan sekolah lain untuk dikaji.

Hasil daripada itu, Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) pada Dis 2019 melancarkan program CikgooTube bagi melatih para guru dalam pengajaran melalui video.

Romizal merupakan salah seorang pelatihnya.

CikgooTube adalah program “melatih pelatih” - bertujuan melatih guru-guru yang bukan sahaja dapat menghasilkan video sendiri, tetapi mampu melatih dan mengajar guru-guru lain pula untuk menghasilkan video mereka sendiri.

Bagaimanapun, kerana PKP, bengkel yang sudah dirancangkan kini agak tergendala, dan mereka menunggu waktu sesuai untuk mengadakan bengkel bersemuka kerana bengkel tersebut melibatkan hal-hal teknikal dan perkakasan rakaman yang sukar diajar secara dalam talian.

Akan terus berkarya

Kata Romizal, dia mahu terus memperbanyak kandungan pendidikan dalam bahasa Melayu - khususnya untuk pelajar dari kampung - meskipun pernah dicadangkan untuk menggunakan bahasa Inggeris untuk mencapai sasaran penonton lebih luas.

“Pengikut saya pun bukan Melayu semua. Ada juga India, Cina, sebab bahasa Melayu, bahasa Malaysia yang semua orang faham. Orang Indonesia pun ada komen juga.

“Kita fahamlah, bila dekat kampung, sebab saya pun asal dari kampung, bahasa Inggeris ini jadi satu fobia pada budak. Saya pun mengajar budak kampung. Jadi saya perlu bantu budak-budak ini.

“Karang disebabkan bahasa Inggeris, dia punya matematik jadi teruk. Kadang-kadang dia minat matematik, sudahnya, bahasa Inggeris dia tak faham pula, jadi satu masalah.

Ditanya berapa lama lagi dia akan terus menghasilkan kandungan pengajaran, kata Romizal, setakat ini, dia belum bercadang untuk berhenti.

“Ya. Insya-Allah (akan terus berkarya).

“Identiti saya ialah bahasa Melayu Perok,” kata lelaki yang menjadi guru sejak 2004 itu, sambil ketawa besar.