Penyeludup lari tinggalkan lembu dan lori
Terkejut dengan kehadiran pihak berkuasa, sekumpulan lelaki disyaki penyeludup melarikan diri dan meninggalkan lori bersama tujuh ekor lembu dipercayai diseludup dari negara jiran.
Pada kejadian sekitar jam 12.30 tengah malam tadi di kawasan ladang kelapa sawit di Kampung Rahmat, Lubuk Stol, Rantau Panjang itu, dilakukan anggota Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA9) ketika melakukan rondaan dan pemantauan rutin.
Pegawai Pemerintah PGA9, Superitenden Nor Azizan Yusof berkata dalam kejadian jam 12.30 malam tadi, anggota bertugas mengesan sekumpulan lelaki dan sebuah lori berwarna putih dalam keadaan mencurigakan.
Jelasnya, ketika anggota menghampiri kumpulan lelaki itu mereka bertindak melarikan diri ke semak berhampiran dan gagal dikesan.
"Hasil pemeriksaan terhadap lori tersebut mendapati terdapat tujuh ekor lembu dipercayai dibawa masuk secara seludup melalui negara jiran, Thailand, untuk tujuan pasaran tempatan dan seluruh negara bergantung kepada permintaan," katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.
Mengulas lanjut katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 36(1) Akta Binatang 1953, manakala nilai rampasan lembu tersebut dianggarkan RM70,000.
Tambah Nor Azizan, pihaknya turut menerima maklumat ladang kelapa sawit berkenaan menjadi tempat transit dalam kalangan penyeludup kerana kedudukannya agak tersorok bagi mengaburi mata pihak berkuasa.
"Kesemua lembu terbabit termasuk lori dirampas dan dibawa ke Balai Polis Lubok Stol untuk siasatan dan tindakan lanjut sebelum ternakan ini diserahkan kepada Jabatan Veterinar negeri Kelantan," katanya.
Dalam perkembangan berasingan PGA9 turut merampas pelbagai jenis barangan runcit seludup seperti beras dan tepung bernilai hampir RM50,000 yang dibawa menaiki lori berdekatan Masjid Beijing, di Rantau Panjang pada jam 6.40 petang semalam.
"Anggota turut menangkap pemandu lori yang juga seorang lelaki berusia 57 tahun dan diserahkan ke Balai Polis Rantau Panjang untuk tujuan siasatan dan tindakan lanjut
"Hasil siasatan barangan seludup ini untuk menampung keperluan pasaran tempatan selain dijual sekitar pasar-pasar utama di Kota Bharu, dan kes ini disiasat di bawah Seksyen 135(1) Akta Kastam 1967," kata Nor Azizan.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai