Skip to main
Logo Malaysiakini

‘Prihatin Rakyat: Darurat Memerangi Covid-19' wajib dalam surat rasmi k’jaan

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Kerajaan mengarahkan satu frasa baru “Prihatin Rakyat: Darurat Memerangi Covid-19” sebelum frasa “Berkhidmat untuk Negara” wajib dimuatkan dalam semua surat rasmi berkuat kuasa hari ini.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Mohd Khairul Adib Abd Rahman berkata, keputusan itu selaras dengan proklamasi darurat yang dibuat 12 Januari lalu serta hasrat kerajaan supaya penjawat awam memberi komitmen sepenuhnya untuk menangani Covid-19.

“Selaras dengan proklamasi darurat yang dibuat pada 12 Januari 2021 yang lalu dan sejajar dengan hasrat kerajaan supaya setiap penjawat awam menghayati dan memberi komitmen sepenuhnya kepada langkah-langkah yang diambil dalam menangani pandemik Covid-19.

“Maka, kerajaan bersetuju supaya satu frasa baharu iaitu “Prihatin Rakyat: Darurat Memerangi Covid-19” ditambah sebelum frasa “Berkhidmat untuk Negara” dalam semua surat rasmi kerajaan,” katanya menerusi satu pekeliling hari ini.

Ia dialamatkan kepada semua ketua setiausaha, ketua jabatan, setiausaha kerajaan negeri, ketua pengurusan negeri dan ketua pengurusan pihak berkuasa tempatan dengan salinannya kepada semua setiausaha suruhanjaya perkhidmatan.

Pada tahun 2018 lalu, semasa pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH) frasa "saya yang menurut perintah" yang digunakan dalam surat rasmi kerajaan telah digantikan dengan frasa "saya yang menjalankan amanah".

Mohd Khairul menambah, frasa itu akan digunakan selagi proklamasi darurat masih berkuat kuasa dalam negara.

Darurat ini berkuat kuasa sehingga 1 Ogos, tetapi sebuah jawatankuasa bebas akan ditubuhkan untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong jika ia perlu ditamatkan lebih awal.

Darurat itu seolah-olah memberi kerajaan lebih banyak kuasa untuk bertindak membendung wabak Covid-19, tanpa memerlukan persetujuan parlimen, tetapi para pengkritik juga menyatakan kebimbangan mereka tentang ketiadaan “semak dan seimbang” terhadap mereka yang berkuasa itu.

Ahli politik pembangkang juga menuduh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin menggunakan perisytiharaan darurat untuk mengekalkan cengkaman kekuasaannya setelah kehilangan sokongan daripada anggota Parlimen.