Skip to main
Logo Malaysiakini

Kisah TV Pendidikan pada 1972 dari ingatan bekas pengarah fotografi

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Kurang lebih 49 tahun dulu, sekolah sudah tidak hanya berasaskan papan hitam dan kapur putih. Malah, tersedia pembelajaran menerusi televisyen.

Dengan hanya televisyen yang tidak ceria warnanya serta kurang atau tiada penggunaan montaj grafik, banyak pelajar pada tahun itu menerima manfaat menerusi program TV Pendidikan (TVP).

Bagi Pengarah Fotografi Mahadi J Murat yang terlibat dalam pembikinan program TVP pada tahun 1972, ia merupakan satu pengalaman mahal baginya.

Ketika dihubungi Malaysiakini, Mahadi mengimbas kembali perjalanan penggambaran program tersebut.

“Jadi pada ketika itu, setiap sekolah di kampung akan dibekalkan sebuah televisyen dan radio serta bahan pembelajaran.

“Kementerian ketika itu mengenal pasti beberapa subjek asas dan saya sendiri terlibat dalam pelbagai genre penerbitan di TVP dari Julai 1972 sehingga Disember 1983.

“Guru juga dilatih untuk guna kaedah televisyen untuk mengajar. Jadi ada gerakan antara kementerian dan sekolah untuk jayakan pembelajaran gunakan teknologi pendidikan,” katanya.

Untuk rekod, TVP telah dilancarkan secara rasminya pada 19 Jun 1972 oleh Perdana Menteri Malaysia kedua Abdul Razak Hussein.

Pada ketika itu, TVP, Radio ke Sekolah-Sekolah, dan satu lagi unit iaitu Unit Alat Pandang-Dengar (AVA) diletakkan di bawah Bahagian Perkhidmatan Sebaran Pendidikan di Kementerian Pelajaran, yang ketika itu dipimpin oleh Dr Mahathir Mohamad.

Ketiga-tiga unit itu bertujuan membawa teknologi pendidikan baru ke sekolah-sekolah di seluruh negara.

Kru TV Pendidikan pada 1972.

TVP yang mula bersiaran di televisyen konvensional pada tahun 70-an itu telah dipindahkan kepada kaedah secara dalam talian melalui EduwebTV pada 1 Mac 2008 dan tidak lagi disiarkan di saluran televisyen konvensional bermula 1 Januari 2009.

Namun, program pendidikan itu telah mula diperkenalkan pada 6 April 2020 oleh kementerian pendidikan Malaysia (KPM) sejurus pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) pertama pada 18 Mac tahun lalu.

Selain itu, Mahadi menceritakan, kru penerbit juga dibantu oleh seorang guru penyelia bagi setiap subjek.

“TVP dia ada seorang guru penyelia mata pelajaran, dan bawahnya ada penerbit.

“Dalam sekitar satu penerbitan mata pelajaran program itu. Ia perlukan kurang-kurang 10 kru.

“Jadi kita lihat subjek yang akan diajar dan mula buat penggambaran mengikut kesesuaian subjek itu,” katanya.

Ke Sarawak untuk lakonkan kisah Datuk Patinggi Ali

Masih segar di ingatan Mahadi ketika dia bercerita selepas terlibat pembikinan program TVP dalam subjek Sejarah, iaitu kisah Datuk Pattinggi Ali.

“Saya ingat, saya ada buat program Sejarah iaitu kisah Datuk Patinggi Ali di Sarawak dan bagaimana beliau gunakan orang Dayak Sarawak untuk lawan penjajah British.

“Kami sampai ke Sarawak untuk lakonkan kembali kisah itu dan ia dipaparkan dalam program TVP untuk diajar kepada pelajar,” katanya.

Meskipun lakonan kisah sejarah itu kelihatan menarik, Mahadi akui terdapat kesukarannya.

Ia kerana, penggambaran lakonan seperti itu tidak boleh digunakan untuk semua subjek.

“Dia menarik cuma tak boleh guna dalam subjek seperti Matematik yang perlukan bantuan khusus guru-guru.

“Jadi cabaran untuk memaparkan subjek itu dalam versi penerbitan juga satu cabaran,” jelasnya.

Meskipun TVP dikembalikan pada PKP 1.0 namun ia lebih menumpukan program kepada pelajar yang akan mengambil peperiksaan umum pada tahun ini.

Susulan itu, terdapat gesaan pemerkasaan TVP yang disuarakan oleh beberapa ibu-bapa serta ahli parlimen untuk memfokuskan pembelajaran itu kepada semua murid.

Hal ini ekoran, kesukaran yang dialami pelajar sekolah berhubung kekangan jaringan internet serta kemudahan untuk belajar menerusi dalam talian-PdPR khususnya di Sabah dan Sarawak.

Selain itu, terdapat keluarga yang tidak mampu untuk menyediakan kemudahan tersebut.

TVP boleh dibaiki, seiring dunia moden kini

Mahadi yang juga merupakan presiden Institut Kesenian dan Kajian Media Malaysia turut menambah, TVP boleh dimajukan dengan gandingan teknologi semasa.

“Kalau dulu, kami hanya gunakan teknologi sedia ada, warna televisyen yang malap, perkakas kamera tidak canggih.

“Sekarang, semuanya moden dan canggih. Jadi kita harus majukan konsep TVP ini bersama-sama jaringan internet supaya ia dapat dibaiki lagi.

“Namun kita masih kena kekalkan sistem pembelajaran dalam bilik darjah atau sekarang dalam talian bersama guru.

“Kita gunakan proses belajar dalam televisyen ini sebagai kaedah tambahan untuk meningkatkan lagi pemahaman setiap pelajar,” jelasnya.