ULASAN | Adakah Malaysia memiliki kerajaan yang berfungsi?
Rakyat Malaysia telah resah dan bosan menghadapi krisis demi krisis tanpa kerajaan menunjukkan kepimpinan meyakinkan yang boleh diharapkan.
Polisi lemah serta arah tuju tidak menentu serta flip flop kerajaan sangat tidak meyakinkan rakyat yang makin hari makin bimbang dan gusar. Kerajaan menghadapi krisis kepercayaan kepimpinan yang amat serius hari ini.
Rakyat sangat dahagakan seorang tokoh pemimpin yang berkaliber serta tegas dan meyakinkan daripada 70 orang menteri yang begitu ramai tetapi tidak kelihatan muncul ke hadapan di saat krisis dihadapi negara.
Vaksin Covid-19 hanya akan tiba akhir Februari 2021 sementara kesemua jiran Asean kita telah mula proses menyuntik.
Di saat rakyat hilang pekerjaan dan punca rezeki, kerajaan mengeluarkan arahan tidak menentu dan konsisten dengan arahan perintah kawalan pergerakan (PKP) yang mengelirukan dan di saat terakhir.
PKP tidak terancang akan menyebabkan bertambahnya hilang pekerjaan dan perniagaan.
Di saat ini Malaysia mempunyai pelaburan langsung asing (FDI) yang terendah di kalangan negara Asean.
Cuti sekolah dan pengajaran dalam talian dibuat secara ad hoc saat terakhir dan tidak teratur setelah 12 bulan krisis Covid-19 melanda.
Sikap tidak konsisten dan angkuh pemimpin kerajaan dalam isu cuti Thaipusam dan perarakan Thaipusam berkaitan dengan wabak Covid-19 adalah contoh yang menunjukkan kelemahan kerajaan hari ini yang amat memalukan di mata dunia.
Menteri besar Kedah bukan sahaja membatalkan cuti Thaipusan tetapi mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang mengguris hati orang India.
Perarakan Thaipusam yang mula-mula dibatalkan atau dihadkan penyertaan peserta kemudian dibenarkan pula di Kuala Lumpur. Perarakan yang asalnya dibatalkan kerajaan Pulau Pinang atas sebab risiko kesihatan dibenarkan pula oleh kerajaan persekutuan yang ingin menjadi juara.
Sebenarnya rakyat bangsa India tidak marah sangat kalau perayaan besar-besaran Thaipusam dibatalkan atas isu keselamatan Covid-19, tetapi pembatalan cuti - yang mereka sepatutnya boleh sembahyang di rumah dan kata-kata menteri besar Kedah - adalah isu besarnya.
Soalannya, di manakah ketokohan kepimpinan kerajaan Malaysia hari ini sehingga bilangan 70 orang menteri yang tertinggi dalam sejarah Malaysia dan dunia tidak berfungsi dengan baik?
Soalannya lagi di manakah kesungguhan politik kerajaan untuk bertindak tegas mengatasi isu-isu negara termasuk Covid-19?
Akhir sekali dengan pengisytiharan darurat yang telah dipertikaikan ramai keperluannya, perlukah parlimen digantung kerana negara lain tidak pun menggantung parlimen mereka ?
Dengan digantung parlimen dan dengan ketidakwibawaan kerajaan hari ini, di manakah tempatnya rakyat melalui wakil rakyat ahli parlimen mereka boleh memberi pandangan, rayuan dan teguran?
Bukankah survival rakyat lebih penting daripada survival kerajaan yang lemah?
Atau adakah kerajaan lebih mengutamakan survival mereka?
SENATOR RAJA BAHRIN SHAH ialah seorang pemimpin Amanah.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai