Kumpulan Buddha pula tegur MB Kedah: ‘Tiada warga kelas kedua’
Keputusan Kerajaan negeri Kedah untuk menarik semula cuti peristiwa sempena Thaipusam di negeri itu terus dikecam pelbagai pihak.
Terbaru Persatuan Belia Buddhist Malaysia (YBAM) menyifatkan keputusan Menteri Besar, Sanusi Md Noor itu sebagai keputusan yang sangat tidak wajar.
Setiausaha agungnya, Hoi Jung Wai menyeru kerajaan negeri mempertimbangkan semula keputusan tersebut demi melayani setiap warganegara dengan adil tanpa mengira agama dan bangsa.
"Ahli politik tidak sepatutnya mengeksploitasi cuti peristiwa sebagai alat politik dan membuat keputusan sewenang-wenangnya tanpa memandang serius akan makna dan kepentingan cuti peristiwa kepada golongan agama tertentu.
"Tiada mana-mana golongan di negara kita yang merupakan warganegara kelas kedua. Justeru itu, cuti peristiwa yang sedia ada untuk perayaan keagamaan tidak sepatutnya dianggap sebagai sesuatu pemberian atau kemurahan hati," katanya dalam kenyataan.
Sebelum ini Sanusi mengumumkan Kedah tidak memberikan cuti peristiwa sempena Thaipusam pada tahun ini kerana negeri itu sedang melaksanakan perintah kawalan pergerakan (PKP).
Setiausaha Politik Menteri Besar Kedah Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata langkah itu dibuat memandangkan rakyat Kedah memang seolah-olah sudah bercuti sejak pelaksanaan PKP kerana ramai yang bekerja dari rumah.
Bagaimanapun pelbagai pihak termasuk kalangan pemimpin dalam parti kerajaan mengkritik keputusan berkenaan, termasuk Pengerusi Lembaga Penasihat BN Najib Razak.
Hoi berkata kerajaan harus memberi penghormatan dan bersikap adil terhadap perayaan-perayaan pelbagai agama.
"Selain itu, ini juga dapat mempertingkatkan persefahaman dan perpaduan di antara rakyat Malaysia.
"Kita memerlukan sebuah kerajaan yang amanah dan dapat menjaga keperluan seluruh rakyat. Kami berharap agar kerajaan negeri Kedah dapat menangani hal ini dengan penuh kebijaksanaan," tambahnya.
Hari Thaipusam akan disambut pada esok bagi menghormati Dewa Murugan. Sebahagian umat Hindu akan menunaikan nazar pada hari itu.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai