Skip to main
Logo Malaysiakini

Persatuan peniaga gesa caj, denda urusan bank dilonggarkan

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Pertubuhan Peniaga Tekstil dan Barang-Barang Am India Malaysia (Mita), menggesa kerajaan persekutuan menasihati bank agar melonggarkan terma dan syarat khususnya berkaitan cek, kredit kad dan caj lain.

Setiausaha Mita, Maheswary Ramasamy mendakwa pihak bank masih mengenakan bayaran seperti denda, caj lain ketika kebanyakan peniaga menghadapi kesukaran berhubung urusan bank kerana perniagaanya terkesan akibat pandemik Covid-19.

"Situasi peniaga sangat teruk dalam pandemik lebih-lebih lagi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 ini. Hampir semua jenis sektor perniagaan menghadapi kesukaran aliran tunai.

"Maka, kami meminta kerajaan agar berbincang dengan pihak bank untuk melonggarkan beberapa terma dan syarat khususnya urusan berkaitan cek, kredit kad dan caj-caj lain," katanya kepada Malaysiakini.

Antara cadangan dikemukan mereka adalah membatalkan caj untuk pemberhentian bayaran cek.

"Kita perlu faham hampir 95 peratus peniaga di Malaysia menggunakan kaedah 'post dated cheque' (cek tangguh) dalam urusan perniagaan harian.

"Sejak pandemik dan tempoh PKP 2.0 mengakibatkan mereka menghadapi kesukaran membuat bayaran ke atas cek yang dikeluarkan kerana tiada aliran tunai selepas banyak sektor termasuk industri kami masih tidak dibenarkan beroperasi dalam tempoh PKP.

"Ramai antaranya tidak mempunyai baki yang mencukupinya dalam akaun. Mereka terpaksa membuat pemberhentian bayaran cek ke atas cek-cek yang telah dikeluarkan sebelum ini.

"Malangnya, bank mengenakan bayaran antara RM100 hingga RM200 ke atas setiap cek yang dikeluarkan ketika diminta untuk memberhentikan bayaran (stop payment) atas dasar tiada wang mencukupi dalam akaun semasa cek masuk. Sememangnya akibat tiada perniagaan, tiada wang masuk dan sebab itu cek dihentikan.

"Kami minta kerajaan berbincang dengan bank supaya tidak mengenakan caj yang sedikit sebanyak membantu peniaga," katanya.

Dia juga meminta caj RM10 untuk setiap 1,000 keping duit kertas dan RM1 ke atas setiap 100 duit kertas seterusnya yang dikira di kaunter dihentikan.

"Selain itu, bayaran RM1 setiap cek bagi dua proses (cek deposit dan cek yang ditunaikan) juga harus ditangguhkan.

"Perbankan adalah antara sektor yang masih menjana keuntungan dalam tempoh pandemik ini. Kelonggaran beberapa syarat ini tidak akan menjejaskan mereka," katanya sambil menambah bahawa kelonggaran ini harus dilanjutkan antara satu hingga dua tahun sehingga tempoh pemulihan ekonomi.