Skip to main
Logo Malaysiakini

Badan pengurusan petempatan boleh letak syarat pada penghuni

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Kerajaan tidak menghalang jika ada pihak pengurusan kondominimum atau apartmen menghendaki penghuninya menunjukkan keputusan ujian Covid-19 sebelum memasuki premis berkenaan.

Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob berkata pihak terbabit memang dibolehkan membuat peraturan sedemikian demi menjaga keselamatan penghuni.

"Demi untuk menjaga keselamatan penghuni, maka pihak pengurusan kondominium atau apartmen boleh buat peraturan seperti itu... kerajaan tidak menghalang mereka," katanya pada sidang media di Kuala Lumpur hari ini.

Terdahulu menteri kanan berkenaan ditanya mengenai syarat yang dikenakan pihak pengurusan kompleks kediaman tertentu baru-baru ini.

Syarat itu membolehkan pihak pengurusan menghalang penghuni memasuki rumah mereka jika gagal menunjukkan bukti ujian saringan Covid-19.

Bagaimanapun beberapa pakar berpendapat pihak terbabit tidak ada hak perundangan untuk membuat ketetapan berkenaan.

Ia turut dikecam pakar kesihatan awam yang ditemu bual Malaysiakini kerana mereka berpendapat syarat tersebut tidak membantu mengekang penularan wabak Covid-19.

Ismail Sabri berkata memang ketika ini tiada polisi sedemikian ditetapkan Majlis Keselamatan Negara namun kerajaan tidak bercadang melarang pengurusan kondominium atau apartmen mengenakan syarat sebegitu.

"Kita tak halang pihak pengurusan kondo atau mana-mana kawasan perumahan untuk mengeluarkan arahan seperti itu bagi menjaga keselamatan penduduk," katanya.