Skip to main
Logo Malaysiakini

MB digesa buktikan PJD Link dan Kidex tak sama

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Amirudin Shari mempunyai tanggungjawab moral untuk membuktikan bahawa Lebuh Raya Petaling Jaya Dispersal Link (PJD Link) adalah tidak sama dengan Lebuhraya Kinrara-Damansara (Kidex) yang sebelum ini dibatalkan, kata sebuah persatuan penduduk.

Ini selepas menteri besar Selangor itu dalam wawancara dengan Malaysiakini baru-baru ini, mengatakan tidak adil bagi pengkritik untuk menyamakan kedua-dua lebuh raya berkenaan.

"Kamu mengatakan kedua-dua lebuh raya itu tidak sama dan kami percaya kamu, tapi kamu mempunyai tanggungjawab moral untuk memberitahu kami mengapa kedua-duanya tidak sama," kata Selve Sugumaran Perumal, Pengerusi Persatuan Penduduk Seksyen 14 (Jalan 14/1 -14/15).

Dia menggesa pihak berkaitan mendedahkan penjajaran dan dokumen pembinaan lebuh raya yang dicadangkan, termasuk laporan penilaian lalu lintas, laporan penilaian impak alam sekitar dan laporan penilaian impak sosial.

Selve berkata dia tetap dengan pendirian bahawa kedua-dua lebuh raya itu adalah sama berikutan penjajaran berkenaan dan individu di belakang kedua-dua syarikat pembinaan terbabit.

Penjajaran awal dicadangkan untuk PJD Link merangkumi lebuh raya berkembar sejauh 34.3km, manakala rancangan asal untuk Kidex merangkumi lebuh raya bertingkat sejauh 14.9km.

"Menurut rancangan, Kidex akan menghubungkan Damansara dan Kinrara, melalui Jalan Harapan, Jalan Khoo Kay Kim Kim, Jalan Penchala dan Taman Medan juga," kata Selve.

Selve berkata dia dimaklumkan dari pemaju bahawa PJD Link akan menghubungkan Damansara ke Kinrara, melalui Jalan Harapan, Jalan Othman, Seksyen 14 dan Seksyen 15 PJ, Jalan 222, Jalan Templer dan Taman Medan.

"Kira-kira 80 peratus penjajaran kedua-dua lebuh raya itu adalah sama," katanya kepada Malaysiakini ketika dihubungi.

"PJ merupakan kawasan populasi bagi warga tua, yang perlu jauh dari pembangunan. Lebuh raya di kawasan bandar sepatutnya menyuraikan trafik dan bukannya membawa lalu lintas ke bandar," katanya.

Selve berkata berdasarkan dokumen yang ada padanya, hampir kesemua individu di belakang kedua-dua syarikat lebuh raya itu adalah orang yang sama.

November lalu, Malaysiakini melaporkan kebimbangan beberapa persatuan penduduk Petaling Jaya bahawa pembinaan PJD Link adalah penjenamaan semula projek Kidex, yang dibatalkan pada tahun 2015 oleh menteri besar Azmin Ali ketika pentadbiran Pakatan Rakyat Selangor.

Amirudin mendakwa pemaju PJD Link (M) Sdn Bhd sebelum ini berjanji kepada kerajaan negeri untuk mengatasi semua kebimbangan yang sebelum ini ditimbulkan oleh penentang Kidex.

Dia juga telah meminta pemaju berjumpa dengan pihak berkuasa tempatan dan penduduk sebelum menyampaikan maklum balas kepada kerajaan negeri.

Selve berkata penduduk hanya akan menyokong pembangunan lestari yang memberi manfaat kepada mereka.

"Kerajaan negeri telah membatalkan Kidex dan telah menolak usul pembangkang di dewan negeri untuk menghidupkan semula projek lebuh raya Kidex. Apakah kerajaan negeri berkomplot dengan pembangkang untuk mengembalikan projek pembangunan lebuh raya ini (melalui lebuh raya PJD Link)?.

"Jika kerajaan negeri (pimpinan Pakatan Harapan) meneruskan projek itu, apakah ia bersedia kehilangan pengundi di PJ (pada pilihan raya akan datang)?" soal Selve.