Skip to main
Logo Malaysiakini

Hospital swasta: Dana RM100 juta hanya untuk pesakit dari hospital kerajaan

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Peruntukan RM100 juta untuk hospital swasta adalah untuk pesakit yang dirujuk oleh hospital awam sahaja, menurut Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM) Dr Kuljit Singh.

Dana tersebut adalah sebahagian daripada pakej rangsangan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permai) yang diumumkan kerajaan awal bulan ini.

Bercakap dengan Malaysiakini, Kuljit berkata dana tersebut akan digunakan untuk pesakit hospital kerajaan yang dirujuk doktor untuk dirawat di hospital swasta.

Ia adalah prerogatif doktor di hospital kerajaan. Pesakit tidak boleh membuat permintaan itu. Dana itu juga bukan untuk pesakit yang terus ke hospital swasta.

"Jika mereka (doktor hospital kerajaan) merasakan ada pesakit yang perlukan rawatan, ubat atau pembedahan segera, terpulang kepada mereka untuk hantar pesakit ke hospital swasta bagi rawatan.

"Tapi ia berdasarkan kes. Ia adalah atas penilaian dan keputusan mereka," katanya ketika dihubungi.

Selepas membuat penilaian, doktor hospital kerajaan perlu membuat konsensus dengan hospital swasta berhubung keperluan pesakit dan caj rawatan.

Selepas itu barulah pemindahan pesakit dibuat.

"Pesakit tak perlu bayar, kerajaan akan bayar. Tetapi hospital kerajaan dan swasta perlu capai persetujuan berhubung kadar bayaran.

"Sebelum pesakit boleh dihantar, doktor di hospital kerajaan akan berhubung dengan hospital wasta berkenaan bayaran," katanya sambil menambah kerajaan mempunyai had belanja untuk setiap prosedur dan rawatan.


Noor Hisham perinci rancangan libatkan hospital swasta

PKR gesa k'jaan dedah perincian RM100 juta bagi integrasi hospital swasta


Kuljit juga menyatakan proses pemindahan pesakit ini telah diamalkan sebelum penularan Covid-19.

Bagaimanapun, dana RM100 juta yang diberikan akan membolehkan lebih ramai pesakit di hospital kerajaan, sama ada berkaitan Covid-19 atau bukan, dirawat di kemudahan swasta dengan dana kerajaan.

Tidak banyak maklumat daripada kerajaan

Kerajaan sebelum ini tidak menyatakan sebarang perincian dan justeru diminta menjelaskan bagaimana dana itu akan digunakan.

Dalam ucapan pengumuman pakej Permai pada 18 Jan lalu, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin secara ringkas berkata dana tersebut untuk hospital swasta merawat pesakit daripada hospital kerajaan.

Menteri Kesihatan Dr Adham Baba dan timbalannya, Dr Noor Azmi Ghazali ketika dihubungi sebelum ini tidak memberi sebarang komen tentang perincian peruntukan.

Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Dr Chen Chaw Min juga tidak memberi maklum balas terhadap pertanyaan Malaysiakini.

Setakat ini, sejumlah 96 hospital swasta telah dilibatkan susulan peningkatan kes positif yang sukar ditampung sistem kesihatan awam.

Pada masa ini, terdapat 45,478 kes aktif di Malaysia. Dianggarkan 15 peratus daripadanya adalah kes kritikal.


Kos rawat Covid-19: Insurans gesa hospital swasta 'bantu lebih sikit'

Maklumat sedikit, risiko tinggi - sebab tiada perlindungan insurans untuk Covid-19


Awal minggu ini, kerajaan berkata pesakit Covid-19 yang memilih untuk ke hospital swasta setakat ini perlu membayar sendiri rawatan.

Ia selepas kerajaan meneruskan rundingan dengan syarikat insurans berkenaan pilihan pembayaran alternatif.

Ditanya berkenaan dasar itu, Kuljit mengesahkan pesakit yang memilih untuk ke hospital swasta perlu menanggung sendiri kos rawatan.

Katanya, kerajaan tidak menetapkan jumlah yang boleh dikenakan kemudahan swasta terhadap kes Covid-19 mahupun keadaan lain.

"Ia terpulang kepada hospital swasta sendiri. Bayaran hospital swasta bergantung kepada jenis dan lokasi hospital.

"Ini bermakna caj kita boleh berbeza-beza. Tetapi tentulah semua ini dimaklumkan kepada pesakit terlebih dahulu,:" katanya lagi.

Kuljit memberi jaminan yang hospital swasta bersikap "sensitif dan wajar" di tengah-tengah wabak Covid-19 tetapi pada masa sama menegaskan ia tetap perlu menampung kos.

[Baca berita asal]