Skip to main
Logo Malaysiakini

Kes dera: Manfaatkan SMS dari MKN untuk tanam kesedaran

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Dua ahli parlimen Pakatan Harapan (PH) hari ini berkata sistem pesanan ringkas (SMS) kerajaan perlu digunakan bagi meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai kes penderaan.

Menurut Ahli Parlimen Pandan Dr Wan Azizan Wan Ismail dan Hannah Yeoh (Segambut) berkata semasa kerajaan PH dulu Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dalam proses memperkukuh usaha melindungi kanak-kanak.

Bagaimanapun kata mereka langkah itu tidak dapat diteruskan dengan jatuhnya kerajaan PH melalui Langkah Sheraton pada Feb tahun lalu.

Justeru kata Wan Azizah dan Yeoh, keranaan Perikatan Nasional (PN) kini boleh memanfaatkan platform SMS Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi untuk meningkatkan kesedaran masyarakat.

Untuk rekod ketika ini pengguna telefon genggam menerima SMS daripada MKN yang memberikan maklumat berkenaan Covid-19. Ia dihantar kepada pengguna dari semasa ke semasa.

"Semasa kami mentadbir, perkhidmatan Talian Kasih diperluaskan kepada aplikasi WhatsApp dan kami bekerjasama dengan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

"Pelbagai syarikat korporat juga bekerjasama mempromosi nombor kecemasan Talian Kasih di lebuh raya dan rangkaian farmasi, serta mengiklankannya di Google, dalam perkhidmatan bas, MRT dan LRT, syarikat telekomunikasi, papan iklan malah sehingga ke 35 lokasi melibatkan 282 panggung wayang di seluruh negara," kata mereka.

Wan Azizah merupakan menteri Pembangunan Keluarga dan Masyarakat dalam kerajaan PH manakala Yeoh berkhidmat sebagai timbalan menteri.


Baca Budak 7 tahun maut dipercayai didera


Kenyataan mereka dibuat ekoran kematian seorang kanak-kanak di Taman Krubong Jaya di Melaka pada 29 Jan lalu. Mangsa berusia tujuh tahun itu ditemui dalam sebuah tong air di rumahnya.

Berdasarkan kepada beberapa kesan cedera dan lebam pada badan kanak-kanak terbabit polis mengesyaki dia menjadi mangsa dera. Ibu kandung dan bapa tiri kanak-kanak itu kini ditahan reman untuk membantu siasatan.

Kata Wan Azizah dan Yeoh kejadian tersebut sangat meruntun jiwa.

"Tragedi seperti inilah yang sedaya-upaya mahu dielakkan semasa kami sama-sama mengemudi dulu," kata mereka.

Selain itu Wan Azizah dan Yeoh juga menggesa agar jumlah pegawai pelindung kanak-kanak ditambah, manakala yang ada diberikan latihan dari semasa ke semasa.

"Pada 2019, Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (Mampu) melakukan audit ke atas Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang antara lain menyarankan agar bilangan pelindung kanak-kanak ditambah bagi memenuhi keperluan menangani isu kanak-kanak," katanya.

Mereka juga menyarankan agar kursus praperkahwinan ditambah baik dengan mewajibkan topik keibubapaan bagi mengelakkan ibu bapa daripada mengabaikan tanggungjawab masing-masing.

Sebelum ini, kata Wan Azizah dan Yeoh, usaha memperkukuh institusi kekeluargaan dilakukan dengan memperluaskan kursus keibubapaan oleh Tabung Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRDF) dan melancarkan Direktori Perkhidmatan Keluarga sebagai pusat sehenti yang memberikan khidmat sokongan kepada ahli keluarga yang memerlukan bantuan.

"Pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) 2.0 bukan saja memberi kesan buruk kepada ekonomi dan kewangan negara, malah turut menjejaskan institusi kekeluargaan.

"Kami menggesa agar kerajaan PN dan KPWKM khususnya kembali fokus kepada isu keselamatan kanak-kanak kerana merekalah nadi dan penentu masa depan negara kelak," kata mereka.