Skip to main
Logo Malaysiakini

Stigma, diskriminasi sumbang penularan kusta

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Stigma dan diskriminasi antara permasalahan yang masih dihadapi pesakit kusta hingga akhirnya menyumbang kepada penularan penyakit itu dalam komuniti, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Pandangan negatif itu katanya menyebabkan pesakit kusta dan kontak rapat mereka bukan saja enggan kelihatan hadir di klinik, malah tidak mahu disaring dan diberi rawatan.

“Sama-samalah kita berusaha untuk membasmi atau menipiskan stigma dan diskriminasi yang diyakini menjadi salah satu punca kepada penularan kusta dalam kalangan keluarga dan komuniti di lokaliti endemik di Malaysia,” katanya dalam kenyataan sempena Hari Kusta Sedunia 2021 bertemakan Bersama Hentikan Kusta.

Hari Kusta Sedunia disambut setiap tahun pada Ahad terakhir Jan.

Dalam pada itu, Noor Hisham berkata setiap anggota kesihatan dan pemimpin masyarakat juga perlu memainkan peranan masing-masing untuk mewujudkan kesedaran mengenai kusta, khususnya kepada komuniti di lokaliti endemik berisiko tinggi.

Katanya Kementerian Kesihatan sentiasa komited memperkukuh semua aktiviti kawalan dan pencegahan di bawah Program Kawalan Kusta Kebangsaan dengan penekanan diberikan terhadap pengesanan kes secara aktif dalam kalangan golongan berisiko di lokaliti endemik.

Noor Hisham berkata Malaysia mencapai tahap eliminasi kusta pada 1994 dengan kadar prevalen 0.9 kes bagi setiap 10,000 penduduk, selari sasaran ditetapkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia iaitu kurang daripada satu kes bagi setiap 10,000 penduduk.

- Bernama