Skip to main
Logo Malaysiakini

Semoga 'nakhoda' berjaya bawa WP keluar dari zon merah, kata Puad

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Sehari sebelum Wilayah Persekutuan meraikan penubuhannya yang ke-47, Dr Puad Zarkashi menyampaikan ucapan buat menteri yang bertanggungjawab di situ, Annuar Musa.

Menamakan Annuar sebagai "nakhoda" Puad menulis: "Semoga nakhoda membawa keluar Wilayah Persekutuan dari zon merah."

Ia merujuk kepada keadaan semasa Wilayah Persekutuan yang kini menjadi kawasan merah Covid-19. Setakat semalam sebanyak 480 kes baru direkodkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi kawasan Kuala Lumpur saja, manakala di Labuan 29 kes dan Putrajaya 12 kes.

Namun pada masa sama Puad menyindir Annuar berhubung tindakan ahli parlimen Ketereh itu memuat naik gambar dia bersama dua yang lain beriadah.

Kata ahli Majlis Tertinggi Umno itu, sebagai menteri Wilayah Persekutuan Annuar bolehlah dianggap sebagai nakhoda bagi kementerian terbabit.

"Tetapi kalau nakhoda gagal patuhi SOP (prosedur operasi standard) PKP (perintah kawalan pergerakan) masa (beriadah), sudah tentu dia akan gagal membawa kejayaan untuk memerangi Covid-19," katanya.

Menurut Puad jika benar alasan diberikan Annuar bahawa dia bertembung secara tidak disengajakan dengan dua tokoh veteran - iaitu bekas Datuk Bandar Kuala Lumpur Nordin Razak dan bekas bendahari Persatuan Bola Sepak Kelantan, Nik Aminaldin Nik Jaafar - tidak semestinya mereka terus berjoging bersama.

Masalahnya kata Puad kenapa ketiga-tiga mereka terus jalan bersama dan mengambil gambar untuk ditularkan kerana ramai yang memang tahu mereka berjiran.

"Dalam SOP PKP, tidak kira kamu datang dari arah mana. 

"Apabila bertembung, terus jalan ikut arah masing masing. Macam take away di restoran - beli dan belah (berlalu)," katanya.