Skip to main
Logo Malaysiakini

Rampasan kuasa di Myanmar: MP gesa kerjasama AS, China

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

GLOBAL | Bekas timbalan menteri pertahanan Liew Chin Tong menyelar rampasan kuasa tentera di Myanmar serta meminta kerjasama Amerika Syarikat (AS) dan China bagi menghalang pencabulan demokrasi di negara itu.

Reuters melaporkan tentera Myanmar melakukan rampasan kuasa pada Isnin terhadap kerajaan yang dipimpin penerima anugerah Nobel, Aung San Suu Kyi yang dipilih secara demokratik.

Suu Kyi ditahan bersama Presiden Myanmar, Win Myint dan pemimpin kanan dari parti Liga Demokrasi Kebangsaan (NLD) dalam satu serbuan awal pagi.

Tentera berkata mereka melakukan penahanan sebagai tindak balas terhadap "penipuan pilihan raya" dan menyerahkan kuasa kepada ketua tentera Min Aung Hlaing.

Kenyataan yang dikeluarkan stesen televisyen tentera juga memaklumkan darurat dikuatkuasakan selama setahun.

"Saya sangat bimbang dengan laporan bahawa Aung San Suu Kyi dan pemimpin kanan NLD telah ditahan oleh pihak berkuasa tentera Myanmar.

"Walaupun saya tidak setuju dengan cara dia (Suu Kyi) menangani krisis Rohingya, kerajaan yang dipilih melalui pilihan raya harus dipertahankan. Rampasan kuasa tentera dalam bentuk apa pun mesti dikutuk kerana ini bertentangan dengan hasrat rakyat Myanmar.

"Khususnya, kita harus mendesak dua kuasa besar, Amerika Syarikat dan China, untuk melakukan apa yang boleh bagi mencegah pencabulan demokrasi di Myanmar.

"Masa depan Myanmar tidak seharusnya menjadi arena persaingan AS-China dan ini harus menjadi tindakan pertama kerjasama AS-China di bawah pentadbiran baru (Joe) Biden, di mana kita  berharap akan melihat dua kuasa besar bekerjasama dengan lebih banyak untuk menyelesaikan masalah antarabangsa bukannya bersaing untuk mendapatkan pengaruh, "kata Liew kepada Malaysiakini.

Rumah Putih mengatakan bahawa Biden telah diberitahu mengenai penangkapan Suu Kyi.

Suu Kyi, 75, memperoleh kuasa apabila memenangi pilihan raya 2015 selepas berdekad menjalani tahanan rumah dalam perjuangan demokrasi menentang junta Myanmar, yang menjadikannya sebagai ikon antarabangsa.

Reputasinya di peringkat antarabangsa tercemar setelah ratusan ribu etnik Rohingya melarikan diri dari operasi tentera di Rakhine pada 2017.

Bagaimana Suu Kyi tetap popular di kalangan rakyat negara ini dan partinya baru-baru ini memperoleh kemenangan besar dalam pilihan raya.

Myanmar ketinggalan jauh berbanding negara-negara Asean lain setelah beberapa dekad di bawah pemerintahan diktator yang bermula sejak Jeneral Ne Win merebut kekuasaan pada tahun 1962.

Ketegangan politik memuncak minggu lalu ketika seorang jurucakap tentera tidak menolak rampasan kuasa menjelang persidangan parlimen pada Isnin, manakala ketua tentera Min Aung Hlaing menyatakan kemungkinan memansuhkan perlembagaan.

Pihak tentera bagaimanapun pada Ahad lalu mengeluarkan kenyataan di media sosial yang mengatakan bahawa mereka akan "melakukan segala yang mungkin untuk mematuhi norma demokrasi bagi pilihan raya yang bebas dan adil".

Kereta kebal dikerahkan di beberapa jalan minggu lalu dan demonstrasi pro-tentera berlaku di beberapa bandar menjelang persidangan pertama parlimen.