Skip to main
Logo Malaysiakini

Wanita PKR lancar Komuniti Waspada bantu masyarakat

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Wanita PKR melancarkan "kempen komuniti waspada" selepas melihat kerajaan gagal mengekang penularan wabak Covid-19 melalui pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP).

Pengarah Komunikasi Wanita PKR, Loh Ker Chean, berkata keputusan itu dicapai dalam mesyuarat bulanan majlis pimpinan mereka yang berlangsung secara maya semalam.

Ia dipengerusikan Ketua Wanita PKR Fuziah Salleh.

"Wanita PKR berpendapat pelaksanaan PKP yang bermula 13 Jan lalu gagal bahkan Malaysia menuju ke arah gelombang yang amat menakutkan dengan kenaikan mendadak empat angka bahkan lebih daripada 5,000 kes positif berturut-turut sejak 29 Jan.

"Situasi terkini telah mencetuskan kebimbangan yang besar buat seluruh rakyat Malaysia termasuk implikasi sosial yang meragut nyawa dan memberikan tekanan ekonomi, sosial dan kesihatan rakyat.

"Hal ini membuktikan bahawa kepimpinan perdana menteri sekarang tidak mampu mengimbangi kehidupan dan penghidupan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada 11 Jan kerajaan mengumumkan perlaksanaan PKP bersasar bermula 13 Jan lalu untuk mengatasi lonjakan kes Covid-19 yang semakin membimbangkan.

Keputusan itu dibuat susulan kes harian positif Covid-19 di negara ini kekal empat angka direkodkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Pelaksanaan itu melibatkan enam buah negeri iaitu Selangor, Pulau Pinang, Wilayah Persekutuan, Melaka, Johor dan Sabah.

Loh berkata kerajaan sekarang wajar berundur secara terhormat apabila terbukti ia tidak mampu lagi untuk menjaga rakyat.

"Justeru, bagi meningkatkan kualiti hidup, keselamatan awam dan partisipasi komuniti untuk kesejahteraan masyarakat, Wanita PKR memutuskan pelaksanaan model pembangunan komuniti yang dikenali sebagai Komuniti Waspada @ Community Alert yang bakal dilancarkan oleh Fuziah," katanya.

Loh menambah model pembangunan komuniti itu akan disusun dan digerakkan Wanita PKR di seluruh negara sebagai sebuah ekosistem sokongan dalam masyarakat.

"Ini selaras dengan usaha mengarusperdanakan gender dan kami akan meneruskan advokasi polisi berkaitan gender terutamanya di negeri ditadbir Pakatan Harapan dengan mencontohi Pulau Pinang yang jauh terkehadapan dalam hal ini," katanya.