Bayi 14 bulan disyaki jadi mangsa dera ibu bapa angkat
Sepasang suami isteri ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung kes seorang bayi perempuan berusia 14 bulan disyaki didera keluarga angkat.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, ACP Abdul Rahim Daud berkata suspek masing-masing berusia 26 dan 31 tahun itu ditahan kira-kira jam 1 pagi tadi di sebuah rumah di Kok Lanas, Kota Bharu.
Menurutnya, hasil ujian air kencing mendapati si suami positif dadah jenis methamphetamine.
Ketika ini, kata Abdul Rahim kedua-dua mereka direman selama tujuh hari bermula sehingga Ahad depan.
"Siasatan mendapati kanak-kanak itu dipercayai mengalami kecederaan pada bahagian badan, muka, dahi dan tangan selain bengkak paha kanan.
"Kanak-kanak itu juga dipercayai diserahkan kepada pasangan terbabit selaku keluarga angkat pada Ogos tahun lalu oleh ibu kandungnya yang berusia 33 tahun," katanya ketika dihubungi hari ini.
Bagaimanapun tambah Abdul Rahim, pasangan itu menyerahkan semula mangsa kepada ibu kandungnya yang tinggal Besut, Terengganu pada Nov lalu.
Katanya, apabila menerima semula anaknya, ibu kandung kanak-kanak itu menyedari terdapat kesan parut pada tubuh anaknya sebelum membawa mangsa ke Klinik Kesihatan Besut.
"Mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu untuk rawatan dan pemeriksaan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-kanak 2001," jelasnya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai