Skip to main
Logo Malaysiakini

Klinik swasta tanggung kos ujian calitan 33 pelajar kontak rapat di Hulu Selangor

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Sebuah klinik di Rawang tampil menanggung kos ujian calitan bagi 33 pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan Kuala Kubu Bharu (SM3KB) yang merupakan kontak rapat dengan seorang guru yang positif Covid-19.

Pengasas SP Care, Dr Sathia Prakash Nadarajan berkata bahawa pihaknya bersetuju untuk mengadakan ujian calitan ke atas 33 pelajar tersebut secara percuma.

"Kami sedia membuat ujian calitan secara percuma kepada semua pelajar yang kontak rapat itu.

"Kosnya ditanggung sepenuhnya oleh pihak klinik," katanya.

Terdahulu, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah tersebut menerusi satu surat bertarikh 31 Januari meminta klinik tersebut untuk mengadakan ujian calitan bagi 33 pelajar itu selepas seorang guru diuji positif pada 25 Januari.

"Pelajar yang merupakan kontak rapat kini sedang menjalani kuarantin kendiri.

"Pelajarnya terdiri daripada pelajar asrama dan pelajar luar asrama. Kami akan memulakan ujian calitan esok (3 Februari).

"Ini adalah sebahagian daripada usaha klinik swasta membantu usaha Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam mengekang penularan wabak Covid-19," kata Dr Prakash.