Zafrul: Kastam kutip hasil RM38.666 bilion pada 2020
Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mengutip hasil sebanyak RM38.666 bilion sepanjang tahun 2020, kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Beliau berkata kutipan itu lebih tinggi berbanding unjuran yang ditetapkan iaitu berjumlah RM36.305 bilion dengan pencapaian sebanyak 106.5 peratus.
"Sesungguhnya kejayaan ini terus membuktikan keunggulan prestasi dan imej JKDM sebagai antara agensi pemungut hasil utama negara," katanya semasa merasmikan Sambutan Hari Kastam Sedunia kali ke-39 tahun 2021 yang diadakan secara maya, hari ini.
Menurut Tengku Zafrul, sebagai agensi yang terlibat secara langsung dalam mengawal selia sektor perdagangan rentas sempadan, JKDM wajar memimpin kerjasama bersepadu dalam kalangan agensi di perbatasan demi merancakkan kembali aktiviti pelaburan serta menjamin kelangsungan perniagaan.
“Selain meningkatkan kualiti dan integriti dalam perkhidmatan, warga Kastam juga diseru untuk bersiap siaga dan bersifat dinamik dalam mengadaptasi sebarang perubahan mendatang termasuklah memantapkan penguasaan teknologi serta memperkasa pematuhan amalan norma baru ke arah memastikan peranan JKDM sentiasa relevan merentas zaman," katanya.
Ketua Pengarah Kastam Datuk Seri Abdul Latif Abdul Kadir (gambar, atas) dalam kenyataan sempena sambutan itu berkata JKDM berjaya menutup ketirisan hasil negara yang dianggarkan RM5.381 bilion, melepasi sasaran RM2.963 bilion pada tahun lepas.
Ketirisan hasil itu terdiri daripada cukai daripada aktiviti rampasan, hasil lain seperti cukai yang dipungut semula, penyelesaian Akaun Belum Terima (ABT) meliputi kutipan, remisi, pembatalan serta pelarasan dan bil tuntutan yang dikeluarkan oleh Bahagian Pematuhan JKDM, katanya.
Menurutnya, sebanyak 2,104 kes berkaitan rokok direkodkan pada 2020 melibatkan anggaran 894.463 juta batang rokok dengan nilai mencecah RM74.969 juta dan jumlah cukai atau duti terlibat sebanyak RM661.902 juta.
“Jika dibandingkan dengan tahun 2019, ini merupakan peningkatan sebanyak 84.41 peratus dari segi bilangan batang rokok yang dirampas, 83.41 peratus peningkatan dalam nilai rampasan rokok dan peningkatan 84.41 peratus bagi duti serta cukai terlibat,” katanya.
Bagi kes melibatkan minuman keras dan bir pula, Abdul Latif berkata JKDM merekodkan 738 kes dengan anggaran rampasan sebanyak 1.739 juta liter dan nilai rampasan sebanyak RM22.366 juta serta duti atau cukai sebanyak RM45.243 juta.
Bagi kes melibatkan Konvensyen Antarabangsa Mengenai Perdagangan Flora dan Fauna Terancam (CITES), katanya kayu merah adalah antara komoditi terbesar yang dirampas JKDM sepanjang tahun 2020 iaitu sebanyak 24,786 kilogram dengan nilai dianggarkan berjumlah RM7.8 juta.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai