Skip to main
Logo Malaysiakini

KJ: Kawalan eksport EU tak tunda hantar vaksin Pfizer ke M'sia

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Penghantaran vaksin Pfizer Covid-19 yang menuju ke Malaysia tidak akan ditangguhkan oleh kawalan eksport yang dikenakan Kesatuan Eropah (EU), kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin.

Ini walaupun Malaysia tidak termasuk antara negara yang dikecualikan daripada kawalan eksport itu.

Khairy yang juga pengerusi bersama Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) Khairy Jamaluddin berkata dia telah meminta penjelasan dari Duta Besar EU Michalis Rokas dan Duta Besar Belgium Pascal Gregoire mengenai masalah itu.

Menurut Khairy, kedua duta itu memberi jaminan vaksin akan dihantar sebagaimana dijadualkan setelah Pfizer memohon izin eksport.

"Dengan jaminan daripada duta EU dan Belgium, rancangan imunisasi Covid-19 diharapkan dapat berjalan seperti yang dirancang," katanya pada satu kenyataan hari ini.

Menteri itu berkata kerajaan telah meminta Pfizer supaya mendapatkan keizinan yang diperlukan.

Malaysia dijadualkan bakal menerima satu juta dos vaksin pada suku pertama tahun ini, dengan penghantaran pertama tiba pada 26 Februari.

Vaksin ini akan digunakan untuk mengimunisasi 500,000 petugas barisan hadapan.


BACA BERKAITAN: Bila rakyat M'sia akan divaksin untuk Covid-19?


Secara keseluruhan, Malaysia telah memesan 24.28 juta dos vaksin bernama Comirnaty daripada Pfizer.

Syarikat tersebut mempunyai kemudahan di Puurs, Belgium, yang menghasilkan vaksin.

Sebelum itu, Pfizer berkata pihaknya perlu mengurangkan penghantaran vaksin ke EU dan negara-negara lain di luar AS sementara menaik taraf kemudahannya.

Ini mendorong EU melaksanakan kawalan eksport untuk memastikan kesatuan negara itu masih akan menerima vaksin yang dipesannya dan tidak akan mengganggu rancangan imunisasisi.

Langkah-langkah kawalan ekspot EU berkuat kuasa dari 30 Januari hingga 31 Mac tetapi boleh dilanjutkan.

Awal hari ini, Reuters melaporkan menteri Jepun Taro Kono berkata kawalan eksport tersebut boleh menjejaskan penghantaran vaksin ke negara itu, dan mengingatkan 'nasionalisme vaksin' yang semakin meningkat akan menyebabkan tindak balas dan gangguan bekalan global.

EU juga mensasarkan vaksin AstraZeneca bawah langkah kawalan eksport yang sama.

Pengeluar vaksin itu sebelum ini bekata syarikatnya hanya berupaya memberikan 25 peratus daripada 100 juta dos yang diharapkan EU sebelum akhir bulan Mac, kerana masalah pengeluaran kilang di Belgium.

Malaysia telah memesan 6.4 juta dos vaksin daripada AstraZeneca, tetapi jadual penghantaran belum diumumkan.

Sebagai tambahan, Malaysia memesan 6.4 juta dos vaksin yang sama daripada Covid-19 Vaccines Global Access Facility (Covax), yang akan dikecualikan daripada kawalan eksport EU.

[Baca laporan asal]


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.