Skip to main
Logo Malaysiakini

PKP dilanjutkan kali kedua, kadar kebolehjangkitan masih tinggi

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Jangkitan Covid-19 kekal tinggi meski perintah kawalan pergerakan kedua (PKP 2.0) dilanjutkan untuk kali kedua.

Menurut Institut Penyelidikan Sistem Kesihatan (NIH) Kementerian Kesihatan Malaysia, anggaran kadar kebolehjangkitan adalah 1.15 setakat semalam.

Kadar kebolehjangkitan diukur dengan angka Rt. Jika lebih tinggi daripada 1.00 menunjukkan penularan wabak semakin meningkat. Rt 1.15 bermaksud bahawa secara purata, setiap 100 pesakit Covid-19 menjangkiti 115 yang lain dalam setiap kitaran penularan penyakit.

Data NIH menunjukkan bahawa kebolehjangkitan Covid-19 pada 1 Februari lebih tinggi daripada 13 Jan - tarikh PKP 2.0 bermula di beberapa negeri dan wilayah. Anggaran Rt ketika itu ialah 1.13.

 

PKP 2.0 pertama kali dikenakan di lima negeri (Johor, Sabah, Selangor, Pulau Pinang, Melaka) dan tiga wilayah (Kuala Lumpur, Putrajaya, Labuan).

Ia kemudian diperluas ke enam negeri lain (Pahang, Perlis, Perak, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu, Kelantan).

Ia dilanjutkan untuk pertama kalinya pada 21 Januari, sementara pelanjutan kedua diumumkan hari ini.

PKP 2.0 kini akan berkuat kuasa sehingga 18 Februari di semua negeri kecuali Sarawak.

Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob berkata prosedur operasi standard (SOP) yang lebih ketat akan dikenakan tetapi tidak memberikan perincian semasa pengumumannya petang tadi.

Johor mempunyai kebolehjangkitan tertinggi

Walaupun berada di bawah PKP 2.0 sejak 13 Jan, Johor mencatatkan Rt 1.2 semalam menandakan kadar kebolehjangkitan paling tinggi di antara semua negeri dan wilayah.

Dua puluh hari pelaksanaan PKP juga gagal mengurangkan Rt di bawah 1.00 di Kuala Lumpur (1.19), Selangor (1.16), Melaka (1.05) dan Labuan (1.03).

Kadar kebolehjangkitan yang tinggi turut dilihat di Terengganu (1.18), Sarawak (1.11) dan Perak (1.08).

Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkongsi angka-angka ini di laman Facebooknya hari ini.

Ramalan pandemik akan bertambah buruk

NIH juga menyemak semula ramalan pandemik, dan menjangkakan kes baru setiap hari akan meningkat pada bulan berikutnya.

Dalam unjuran 1 Februari, ia meramalkan Malaysia akan mencatat 8,000 kes baru setiap hari menjelang minggu pertama bulan Mac dengan anggaran Rt 1.2.

Negara kini diramalkan akan mencatat 10,000 kes baru setiap hari pada minggu kedua bulan Mac.

Ini lebih tinggi daripada unjuran NIH sebelumnya di mana ia meramalkan 5,000 kes baru setiap hari pada minggu ketiga Februari dan 8,000 kes baru pada minggu ketiga bulan Mac.