Pejuang sasar tanding 50-60 kerusi Parlimen PRU15: Marzuki
Pejuang baru berusia lima bulan. Dalam dunia politik ia dianggap baru setahun jagung.
Namun berbekalkan beberapa nama besar termasuk bekas perdana menteri sebanyak dua kali Dr Mahathir Mohamad, ia menjanjikan saingan hebat dalam mewarnai lanskap politik negara, terutama ketika pilihan raya umum dijangka tidak lama lagi.
Menurut timbalan presiden pro-tem Pejuang, Marzuki Yahya, parti itu mensasarkan sejumlah kerusi parlimen yang pada pendapat mereka peluang untuk menang pada pilihan raya ke-15 adalah cerah.
"Kita sasar, atau kenal pasti, kawasan-kawasan yang kita rasakan sesuai dengan dasar perjuangan (ideologi politik) kita...
"Jumlah kerusi, belum dimuktamadkan, tetapi dari apa yang kita sasar, lingkungannya antara 50 dan 60 kerusi," katanya kepada Malaysiakini dalam satu wawancara minggu lalu.
Sebelum ini, usaha Pejuang untuk diiktiraf secara rasmi sebagai sebuah parti hancur susulan keputusan Pendaftar Pertubuhan (ROS) yang menolak pendaftarannya pada 6 Januari lalu.
Mengikut undang-undang, sesebuah parti politik harus didaftarkan secara rasmi dengan ROS, yang merupakan sebuah jabatan di bawah bidang kuasa Kementerian Dalam Negeri.
Dengan isu pendaftaran masih tergantung, Malaysiakini menyoal Marzuki jika Pejuang sedia mempertimbangkan untuk bertanding di bawah tiket parti lain.
Meskipun mendakawa bahawa mereka mempunyai beberapa pilihan, ahli politik itu berkata, ketika ini, mereka belum membuat keputusan mengenai perkara berkenaan. Terdapat perbincangan mengenai kemungkinan Pejuang menggunakan logo Amanah.
Pejuang juga menikmati kedudukannya hari ini sebagai blok ketiga di Parlimen, tambahnya, sambil merujuk kepada kumpulan yang tidak berpihak kepada pembangkang di Dewan Rakyat.
"Kami adalah blok bebas, bersama rakan-rakan kami dari Warisan dan beberapa yang lain dari Sarawak. Jadi, ini adalah kumpulan yang boleh menjadi penyeimbang dalam keadaan semasa."
Adalah dipercayai bahawa Marzuki merujuk pada percaturan kuasa di negara ini, yang telah menyaksikan pelbagai penjajaran politik baru di antara parti-parti sekutu dan seteru dalam usaha merebut kuasa di peringkat persekutuan.
Marzuki berkata, walaupun partinya tidak mengiktiraf pentadbiran semasa di bawah Perdana Menteri Muhyiddin Yassin sebagai kerajaan yang sah, Pejuang perlu berhati-hati dalam memilih rakan-rakan dalam usaha membentuk pentadbiran baru.
"Kami ingin memastikan bahawa kumpulan yang ingin bersama kami adalah mereka yang benar-benar menegakkan prinsip perjuangan kami, dan tidak hanya mengutamakan mana-mana individu atau parti untuk menjadi perdana menteri.
"Kerana masalah yang kita hadapi hari ini adalah yang terbesar, iaitu memerangi rasuah," katanya.
Persediaan PRU15
Dalam persiapan menghadapi pilihan raya, Pejuang mengakui bahawa parti itu mungkin kesuntukan masa untuk melebarkan sayapnya ke setiap pelosok danrantau negara. Marzuki berkata, rancangan mereka, buat masa ini, adalah untuk memberi tumpuan pada peringkat negeri dan bahagian.
"Kami tidak mempunyai banyak cawangan (buat masa ini). Pejuang hanya mempunyai bahagian dan pentadbiran peringkat negeri.
"Kami ingin fokus pada pilihan raya, jadi jawatankuasa negeri akan memainkan peranan besar untuk menyediakan laporan semasa dengan menilai kerusi-kerusi parlimen mana yang sesuai untuk kita bertanding, dan mengenal pasti calon..."
Jentera parti juga telah mula digerakkan untuk menghadapi pilihan raya. Namun, aktiviti itu terpaksa dihentikan buat sementara waktu kerana perintah kawalan pergerakan.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai