Skip to main
Logo Malaysiakini

Seorang lagi pesakit bawah 40 tahun tanpa penyakit lain meninggal dunia

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Seorang lagi pesakit warga Malaysia berusia bawah 40 tahun yang tidak mengidap mana-mana penyakit lain, meninggal dunia akibat Covid-19 hari ini.

Mangsa adalah lelaki berusia 31 tahun. Dia merupakan kes ketiga seumpamanya pada tahun ini. Jenazahnya dibawa ke Hospital Alor Gajah, Melaka.

Ini berdasarkan senarai kematian akibat Covid-19 yang dimaklumkan dalam kenyataan Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini.

Walaupun sangat jarang untuk pesakit Covid-19 yang tiada penyakit lain meninggal dunia, kes kematian wabak itu melibatkan mereka yang berusia bawah 40 tahun di Malaysia semakin meningkat.

Kes pertama tahun ini diumumkan pada 17 Januari lalu, melibatkan perempuan berusia 32 tahun. 

Menurut keluarganya, dia menjalani kuarantin di rumah dan menunggu untuk dibawa ke hospital, sebelum keadaannya kian lemah dan meninggal dunia.

Dia dipercayai dijangkiti wabak itu di kilang tempatnya bekerja, menurut mereka.

Jenazahnya dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah di Klang, Selangor.

KKM juga memaklumkan yang dia tidak mengidap apa-apa penyakit lain.

Kes kedua diumumkan pada 28 Januari, melibatkan lelaki berusia 22 tahun yang meninggal dunia di Hospital Canselor Tunku Muhriz in Cheras, Kuala Lumpur.

Kematian bawah 40 tahun naik pada gelombang ketiga

Kes kematian melibatkan pesakit bawah 40 tahun, terutama yang tiada komorbiditi lain (mengidap dua atau lebih penyakit lain pada masa sama), amat jarang dilaporkan.

Kebanyakan kematian melibatkan pesakit berusia 60 tahun ke atas, dengan kebanyakannya mengidap penyakit kronik lain seperti diabetes, darah tinggi, jantung dan kencing manis kronik.

Bagaimanapun, sejak gelombang ketiga penularan yang bermula 20 September lalu, semakin ramai yang berusia bawah 40 tahun meninggal dunia akibat Covid-19.

Kebanyakan mereka juga mengidap penyakit lain.

Hari ini terdapat dua lagi pesakit bawah 40 tahun yang meninggal dunia.

Bagaimanapun, berbeza dengan mangsa pertama, kedua-duanya mengidap penyakit kronik lain, antaranya kencing manis, darah tinggi dan strok.

Sejak 1 Oktober 2020 hingga 31 Januari 2021, seramai 43 pesakit bawah 40 tahun telah meninggal dunia, dengan kebanyakannya memiliki komorbiditi.

Sebelum ini, terutama ketika tingginya penularan di Sabah, korban bawah 40 tahun yang tiada penyakit lain lazimnya bukan warganegara. Kebanyakannya dibawa ke hospital setelah meninggal dunia.

Bagi bulan Januari, 15 daripada 289 kematian di Malaysia melibatkan pesakit bawah 40 tahun.

Sehingga 31 Januari, 6.71 peratus kes kematian di negara ini melibatkan golongan itu.

Sebagai perbandingan, lebih 20.1 peratus kematian di Indonesia melibatkan pesakit berusia 45 tahun ke bawah.

Hanya 0.4 peratus pesakit Covid-19 di Malaysia meninggal dunia, manakala 78.4 peratus lagi telah sembuh.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.