Skip to main
Logo Malaysiakini

Polis Johor tumpu semua kawasan pastikan rakyat patuh SOP

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Polis akan menumpukan pengawasan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di bawah perintah kawalan pergerakan (PKP) di semua kawasan di Johor, bukan di kawasan kampung sahaja seperti yang ditularkan di dalam media sosial, kata Ketua Polis Johor Ayob Khan Mydin Pitchay.

Ayob Khan berkata demikian ketika mengulas notis yang tular di kumpulan WhatsApp di dalam Johor yang mendakwa Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan mengubah trend rondaan mereka ke kawasan kampung yang dikatakan rendah dari segi pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.

"Notis yang tular di WhatsApp itu bukan daripada PDRM..itu dari kumpulan-kumpulan tertentu tetapi apa yang kita hendak tekankan adalah kita tidak menumpukan kawasan-kawasan tertentu sahaja tetapi kita tumpu di semua kawasan,” katanya kepada pemberita dalam sidang media di Johor Bahru, hari ini.

Katanya, selain daripada itu jumlah anggota pasukan pemantauan juga telah ditingkatkan daripada 240 orang kepada 500 anggota sejak dua hari lepas bagi memastikan orang ramai mematuhi SOP PKP di Johor.

Katanya lagi, orang ramai diminta menyalurkan maklumat jika mendapati berlaku ketidakpatuhan SOP Covid-19 di negeri itu.

"Seperti di Kota Tinggi semalam, orang ramai yang salurkan maklumat terdapat 15 warga asing yang memakai gelang putih yang didapati membeli barang keperluan di daerah.

"Polis segera ke lokasi bagi mengambil tindakan sewajarnya. Oleh itu, kita perlukan bantuan orang ramai berkongsi maklumat jika nampak ada yang tidak patuh SOP ditetapkan,” katanya.

-Bernama