Skip to main
Logo Malaysiakini

Saman RM10 juta PKR bersifat dendam, dakwa Zuraida

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin mendakwa saman yang dikemukakan PKR ke atasnya bersifat "dendam" selepas dia meninggalkan parti berkenaan.

Dalam hujah yang dikemukakan kepada mahkamah untuk membatalkan saman tersebut Zuraida juga berkata perlembagaan PKR sendiri memberi kebebasan kepada ahlinya untuk meletakkan jawatan tanpa menyatakan sebarang kewajiban mengenai penalti berbentuk pampasan atau balasan.

"Tindakan undang-undang terhadap defendan di sini adalah jelas merupakan satu kempen dendam PKR dan/atau Presiden PKR (Anwar Ibrahim) yang bertujuan untuk menghukum dan/atau mendenda defendan kerana telah keluar PKR sekali gus menggunakan prosiding melalui mahkamah sebagai peluang untuk mendapatkan pengkayaan tidak patut demi memenuhi atau menjamin dana politik PKR secara tidak sah," katanya.

Afidavit itu bertarikh 29 Jan lalu.

Zuraida adalah seorang daripada 11 ahli parlimen PKR yang meninggalkan parti itu pada akhir Feb lalu dan tindakan mereka membawa kepada kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH).

PKR kemudian - pada 2 Okt 2020 - mengemukakan saman bernilai RM10 juta ke atas Zuraida kerana berpaling tadah daripada parti. Saman tersebut dikemukakan Setiausaha Agung PRK Saifuddin Nasution Ismail bagi pihak parti terbabit.

Sebelum bertanding dalam PRU ke-14 pada 2016 semua calon PKR menandatangani ikrar untuk membayar denda RM10 juta jika meninggalkan parti berkenaan selepas terpilih sebagai wakil rakyat.

Menurut Zuraida lagi saman yang dikemukakan PKR juga mengaib serta bersifat remeh, menyusahkan dan salah guna proses mahkamah.

"Ikatan bon yang kononnya menjadi asas kepada kausa tindakan plaintif terhadap defendan tersebut adalah tidak sah dan tidak boleh dikuatkuasakan secara keseluruhannya kerana bukan keperluan di bawah konsep demokrasi berparlimen, malah bersifat tidak adil dan berat sebelah serta bertentangan atau “ultra vires” dengan hak kebebasan berpersatuan yang dipelihara Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan," katanya.

Sementara itu peguam Zuraida, Nizamuddin Abdul Hamid, mengesahkan permohonan tersebut dikemukakan pada 29 Jan lalu.

Katanya semasa pengurusan kes berkenaan secara dalam talian hari ini Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengarahkan PKR untuk memfailkan afidavit sebagai respon kepada permohonan tersebut sebelum 4 Mac.

"Mahkamah menetapkan 1 April untuk pengurusan lanjut kes ini bagi menentukan tarikh mendengar permohonan tersebut," katanya.