Skip to main
Logo Malaysiakini

'Kerajaan tak tutup ekonomi, tolong balas dengan patuh SOP'

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Muhyiddin Yassin sekali lagi mengingatkan orang ramai supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) mencegah penyebaran Covid-19 sebagai balasan keputusan kerajaan mempertimbang keputusan untuk tidak menutup sepenuhnya sektor ekonomi.

Kata perdana menteri, semasa peningkatan kes yang begitu tinggi sekarang, kerajaan sedar kaedah paling berkesan untuk memutuskan rantaian jangkitan Covid-19 adalah dengan melakukan perintah berkurung sepenuhnya atau menutup hampir seluruh sektor ekonomi.

Namun, pada masa sama, katanya, kerajaan juga sedar langkah itu akan memberi kesan amat negatif terhadap ekonomi negara dan kehidupan rakyat sehingga akan menyebabkan banyak perniagaan gulung tikar dan orang ramai hilang pekerjaan.

Kerana itulah, kata Muhyiddin, kerajaan mengambil pendekatan “berimbang”, iaitu membenarkan juga sektor ekonomi perlu untuk terus beroperasi sambil pada masa sama melaksanakan SOP ketat untuk memutuskan rantaian jangkitan Covid-19 yang sudah pun berada di dalam komuniti.

“Kerajaan mendengar pandangan anda dengan tidak menutup ekonomi semasa perintah kawalan pergerakan (PKP).

“Jadi tolong balas langkah ini dengan patuh betul-betul pada SOP supaya kita dapat pastikan kegiatan perniagaan dan perdagangan terus bergerak dan pada masa yang sama membantu memutuskan penularan Covid-19 di tempat kerja dan dalam masyarakat,” katanya lagi.

Dalam gelombang ketiga Covid-19 yang melanda Malaysia sejak 1 Okt tahun lalu bilangan jangkitan kes baru melonjak ke angka empat digit dalam tiga bulan kebelakangan ini.

Bilangan kes baru mencatatkan angka empat digit secara berturut-turut setiap hari sejak awal Dis 2020 sehinggalah ke hari ini.

Kita jaga semua orang

Kata Muhyiddin, meskipun kerajaan melihat hasil positif di beberapa negeri hasil PKP secara berperingkat sejak 13 Jan, negeri-negeri berkepadatan tinggi seperti Selangor, Kuala Lumpur dan Johor terus mencatatkan peningkatan kes.

Sekiranya pergerakan rakyat tidak dikawal, katanya, kes-kes akan terus meningkat dan hospital tidak akan dapat lagi menampung kes baru yang naik mendadak, seterusnya menyebabkan sistem kesihatan awam lumpuh.

“Ini juga satu keadaan yang mesti kita elakkan,” katanya lagi.

Kata Muhyiddin, matlamat untuk memutuskan rantaian jangkitan Covid-19 menerusi kaedah “berimbang” yang disebutnya itu bukanlah mudah untuk dicapai, dan memerlukan kerjasama daripada semua pihak.

Antaranya, kata ahli parlimen Pagoh itu, majikan harus akur dengan arahan kerja dari rumah yang membenarkan hanya 30 peratus pekerja pengurusan boleh hadir ke pejabat, yang mengurangkan risiko jangkitan di dalam pengangkutan awam, jalan raya dan premis pejabat dan perniagaan.

Selain itu, SOP di kilang, tapak pembinaan, dan tempat penginapan pekerja turut ditekankan Muhyiddin memandangkan jangkitan gelombang ketiga banyak berlaku di situ.

Jelasnya, berdasarkan data, kes jangkitan berlaku 59 peratus di tempat kerja, 19 peratus di pusat tahanan, 14 peratus di kediaman, 5 peratus di rumah ibadat atau aktiviti keagamaan dan masing-masing 2 peratus kes import dan kumpulan berisiko.

“Pokoknya, kita mesti jaga kita. Apabila kita jaga sesama kita, kita jaga semua orang,” katanya lagi.

PKP 2.0 dilaksanakan sejak 13 Jan di enam negeri, sebelum disusuli secara berperingkat melibatkan hampir seluruh negeri lain kecuali Sarawak.

Berbeza berbanding PKP 1.0 yang dilaksanakan 18 Mac tahun lepas, PKP kali ini memberi ruang kepada lebih banyak sektor ekonomi dibuka secara berperingkat, bagi mengelakkan rakyat terhimpit dengan kesan ekonomi yang teruk seperti yang dapat dilihat berlaku tahun lalu.

Pada masa sama, negara juga berada dalam pelaksanaan darurat sejak 11 Jan sehingga 1 Ogos sebagai langkah untuk memudahkan kerajaan membendung penularan wabak Covid-19.

Sebelum itu, dalam ucapan sama, Muhyiddin menyenaraikan langkah-langkah yang telah dan sedang diambil kerajaan di bawah Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021, termasuklah hukuman lebih tegas menerusi pindaan undang-undang sedia ada.

Di bawah darurat, kerajaan boleh mencadangkan pindaan undang-undang sedia ada menerusi ordinan yang hanya memerlukan perkenan Yang di-Pertuan Agong, tanpa harus diluluskan terlebih dahulu menerusi Parlimen.

Parlimen boleh memansuhkan ordinan apabila ia bersidang nanti.