Skip to main
Logo Malaysiakini

Ramai keliru, k'jaan digesa perkenal SOP baru Tahun Baru Cina

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Kekeliruan mengenai prosedur operasi standard (SOP) untuk sambutan Tahun Baru Cina telah menyebabkan ramai yang "menggaru kepala", terutama membabitkan aktiviti makan malam keluarga yang hanya membabitkan individu di rumah yang sama.

Kerajaan memaklumkan bahawa makan malam perjumpaan keluarga hanya diizinkan di kalangan anggota keluarga yang sama, tetapi bagi kebanyakan orang, sambutan tahun baru tanpa lawatan dari ahli keluarga, ia sama dengan makan malam biasa.

Beberapa ahli politik dari kedua-dua belah pihak mempersoalkan larangan lawatan keluarga untuk perayaan itu ketika dalam masa sama sektor ekonomi lain dibenarkan untuk beroperasi.

Anggota Dewan Undangan Negeri Bandar Baru Klang, Teng Chang Khim membandingkan larangan itu dengan kegiatan ekonomi dalam lingkungan 10 kilometer.

"Menteri, apa logiknya? Kilang, pasar, pasar malam, dan pasar raya besar boleh dibuka, tetapi ahli keluarga yang tinggal dalam jarak 10 km tidak dibenarkan makan malam keluarga," kata wakil rakyat DAP itu dalam satu kenyataan.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob semalam mengumumkan bahawa perayaan di negeri-negeri semenanjung dan Sabah akan terhad kepada anggota keluarga yang tinggal bersama.

Lawatan dari rumah ke rumah, perjalanan rentas daerah dan perjalanan rentas negeri adalah dilarang.

Bagaimanapun, kerajaan negeri Sarawak akan memutuskan SOPnya sendiri kerana beberapa bahagian di negeri itu kini berada di bawah perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB).

Tahun Baru Cina jatuh pada 12 Februari tahun ini dan secara tradisinya ia disambut selama 15 hari.

Ahli parlimen Ipoh Timor Wong Kah Woh menyifatkan SOP yang dikeluarkan kerajaan sebagai "cacat".

"SOP jelas cacat, jika tidak bodoh.

"Anda boleh pergi bekerja dan makan tengah hari di pejabat dengan rakan sekerja, tetapi anda tidak boleh pergi ke rumah ibu bapa anda untuk makan malam keluarga walaupun mereka mungkin hanya tinggal selang beberapa rumah dari (rumah) anda," katanya dalam satu hantaran di Facebooknya semalam.

Timbalan Menteri Perpaduan Nasional Ti Lian Ker, melalui media sosialnya turut meluahkan kekecewaannya dengan SOP dikeluarkan kerajaan.

"SOP ini mesti ditarik balik dan dibetulkan dengan cepat. Ini bukan SOP tetapi larangan," kata senator MCA itu.

Begitu juga dengan pemimpin DAP Lim Kit Siang yang mahu kerajaan menarik balik SOP itu.

"Tidak ada yang mempertikaikan bahawa ada keperluan untuk SOP Tahun Baru Cina dalam perang melawan pandemik Covid-19, tetapi yang pasti bukan SOP Tahun Baru Cina yang diumumkan oleh Ismail semalam.

"SOP Tahun Baru Cina harus ditarik balik dan digantikan dengan yang SOP menjadi keperluan untuk mendapatkan kembali kepercayaan dan sokongan masyarakat dari semua rakyat Malaysia dalam perang melawan pandemik Covid-19," katanya dalam satu kenyataan.

Peraturan lain yang diumumkan semalam termasuk larangan sembahyang di tokong kecuali ahli jawatankuasa tokong.

Acara seperti tarian singa, persembahan opera dan perarakan Chingay juga turut dilarang.

Naib Ketua Pemuda DAP Muhammad Shakir Ameer bertanya sama ada pihak berkuasa akan mengambil tindakan terhadap mereka yang mengunjungi ahli keluarga semasa perayaan itu.

"Bagaimana akan ada penguatkuasaan jika mereka memutuskan untuk berkumpul? Apakah pihak berkuasa merancang untuk menyerbu setiap rumah masyarakat Cina di negara ini? Itu tidak masuk akal," kata Shakir yang isterinya berbangsa Cina.

Dia juga membandingkan larangan perjumpaan keluarga dengan aktiviti pasar malam.

"Bagaimana membuka pasar malam kurang berbahaya daripada pertemuan keluarga?" katanya lagi.

Sementara itu, pelawak Dr Jason Leong secara sinis menyindir SOP dikeluarkan kerajaan dengan menyatakan keluarganya dan saudara mara akan bertemu ketika sambutan itu.

"Di pasar malam terdekat," sindirnya.

Tidak seperti PKP 1.0, peraturan yang dikenakan tahun ini lebih terbuka dengan kerajaan membenarkan lebih banyak sektor ekonomi beroperasi untuk mengimbangkan antara keselamatan orang ramai dan menyekat wabak Covid-19.

PKP 2.0 telah dikenakan selepas lonjakan kes Covid-19 sejak November tahun lalu.