Skip to main
Logo Malaysiakini

Selamat jalan: Sukarelawan cerita kisah kebumi jenazah Covid-19

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Ketika mula-mula gelombang ketiga Covid-19 melanda Sabah pada September 2020, Zaiddin Abdul Rahim tidak menjangkakan dia akan menjadi sesibuk sekarang.

Zahidin, 40 tahun, merupakan pengurus pasukan sukarelawan yang berasas di Lahad Datu, menawarkan perkhidmatan pengebumian kepada komuniti beragama Islam.

Dikenali dengan julukan “Abang Pilot” oleh penduduk tempatan, pertubuhan Zahidin telah membantu lebih daripada 40 pengebumian membabitkan kes Covid-19, sejak setahun lepas.

“Tayamum menggunakan debu, atau sekarang ini moden sudah, disediakan sudah di dalam paket untuk pengurusan Covid-19. Kiranya itu (tayammum) sudah pemandian dialah.

“Kemudian sembahyang macam biasa, cuma penjarakan (fizikal) kena adalah.

“Ada (ahli keluarga) yang minta tolong, boleh tak mahu sembahyang (jenazah). Tapi itu di luar tanggungjawab dan kuasa kami.

“Momen-momen begitulah yang membuatkan kami rasa sedih, arwah bapa pergi (meninggal dunia), tetapi tak satu orang pun yang dapat hadir,” katanya dalam temu bual bersama KiniTV.

Kata Zahidin, pertubuhannya turut menawarkan khidmat penghantaran jenazah dari hospital ke tanah perkuburan.

Itu pun, ahli keluarga si mati hanya boleh melihat pengebumian dari jarak 50 meter. Mereka tidak dibenarkan masuk ke tanah perkuburan sehinggalah keesokan harinya.

“Sebab laluan itu baru kami guna, lepas itu memang sudah disanitasi tetapi kita khuatir juga masih lagi ada Covid-19 yang aktif di kawasan itu. Kemungkinanlah.”

Dia turut mengimbau pengalaman sedih terpaksa mengebumikan sendiri tiga orang sahabat baiknya yang meninggal dunia kerana Covid-19.

“Memang banyak kalau difikirkan, (pengalaman) yang mengeluarkan air mata. Bukan satu atau dua sahaja. Pernah sekali, kawan baik sendiri yang meninggal dunia.

“Dalam bulan yang sama, minggu yang sama, serentak, tiga-tiga sahabat kami, sekali jalan (meninggal dunia).

“Itu yang sangat menyedihkan kamilah.

Untuk temu bual penuh, anda boleh menyaksikan video KiniTV di bawah: